Lucy (Scarlett Johansson) merupakan seorang gadis Amerika yang tinggal dan belajar di Taipei, Taiwan, yang kemudiannya ditipu oleh teman lelaki barunya dan dipaksa menjadi keldai dadah dan menyeludup dadah sintetik dipanggil CPH4 untuk sindiket Korea. Lucy akhirnya tertangkap dan dikurung oleh penculiknya. Ketika dikurung, salah seorang penculik menendangnya di perut, memecahkan beg dadah yang dijahit di perutnya, melepaskan sejumlah besar dadah ke dalam sistem badan Lucy. Hasilnya, Lucy mempunyai kebolehan luarbiasa yang meningkatkan keupayaan fizikal dan minda, telepati, telekinesis, dan dia boleh memilih untuk tidak merasa sakit atau ketidakselesaan lain.


Filem ini bermain dengan premis di mana ia menyatakan manusia hanya menggunakan 10% sahaja daripada keupayaan minda manusia. Apa yang boleh dilakukan sekiranya manusia mampu mencapai potensi 100% keupayaan minda? Inilah yang cuba dibayangkan oleh pengarahnya, Luc Besson.

Pada mulanya, tempo dan jalan cerita filem ini nampak meyakinkan dan memberi harapan, namun semakin ke penghujung, jalan ceritanya menjadi semakin tidak masuk akal. Walaupun filem ini menampilkan Morgan Freeman selaku Profesor Samuel Norman, filem ini agak sukar difahami kerana diselang-seli dengan montaj elemen saintifik untuk 'mewajarkan' jalan cerita.

Penamat filem ini juga kelihatan agak tergesa-gesa dan seakan cuba mencari penyelesaian kepada keupayaan luarbiasa Lucy dalam masa yang singkat.


Dari segi lakonan, memang tidak dinafikan senarai pelakon yang membintangi filem ini memang hebat. Cuma sayangnya filem ini terlalu 'bercita-cita tinggi' untuk merungkai aspek saintifik dan keupayaan minda manusia, sehingga kelihatan terlalu 'teoretikal' dan tidak munasabah.

Kami memberikan 2.5/5 bintang untuk filem Lucy ini.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post