Pelakon yang terkenal melalui siri TV The Flash di saluran The CW, Thomas Grant Gustin, 27, mengesahkan belum lagi mengahwini tunangnya, Andrea Thoma, menurut laporan oleh portal berita Astro Awani.
Sebuah portal akhbar tempatan berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan yang majlis perkahwinan mereka telahpun berlangsung pada hari Rabu baru-baru ini di Kampung Kolopis, Penampang, Sabah, yang merupakan tempat asal ibu Andrea.
Sebaliknya, majlis yang dilaporkan berlangsung itu hanya sebuah upacara istiadat masyarakat Kadazan bagi menghargai nenek moyang keluarga Andrea.
Dalam kemaskini terbaharu di akaun Instagram miliknya, Gustin memaklumkan dia dan Andrea merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan.
Terdahulu, Gustin memuat naik sekeping gambar bersama Andrea yang berlatar belakangkan bandar Kota Kinabalu, pada 18 Disember lalu.
Gustin memberitahu The Star, biarpun ramai yang mengenalinya, namun dia menghargai sikap masyarakat di negara ini yang memberikan ruang untuk dia dan keluarga ketika majlis berlangsung.
"Ramai yang kenal kami tapi mereka sangat berbudi bahasa. Mereka akan minta untuk mengambil gambar dengan baik dan tidak menyerbu atau mengambil gambar secara curi-curi," memetik kata-kata Gustin seperti mana dilaporkan The Star.
Gustin turut memberitahu perancangannya untuk membeli hartanah di negara ini suatu hari nanti.
Gustin dan Andrea, seorang pakar terapi berdarah keturunan Kadazan, namun dilahirkan dan dibesarkan di Ohio, Amerika Syarikat, berkenalan pada awal tahun 2016, sebelum bertunang pada bulan April lalu.
Gustin membawakan watak Barry Allen/ The Flash dalam siri TV terkenal tersebut yang telahpun memasuki musim keempat siaran.
Post a Comment