John Wick 3 Akan Memulakan Penggambaran Pada April Ini!
Filem ketiga dalam siri John Wick, bertajuk John Wick: Chapter 3, dilaporkan akan memulakan penggambaran pada 26 April 2018. Filem terdahulu, John Wick: Chapter 2 mencatatkan rekod kutipan tertinggi tahun 2017 buat Lionsgate, mencatatkan kutipan sebanyak USD92 juta. Pengarah, Chad Stahelski akan kembali untuk filem ketiga ini, bersama-sama dengan penulis lakon layar Derek Kolstad.
Filem pertama John Wick dengan tajuk yang sama ditayangkan pada 2014, dan walaupun penuh dengan aksi ganas, berajaya mengumpul peminatnya yang tersendiri, dan kembali meletakkan nama Keanu Reeves di senarai teratas pelakon aksi. Keanu Reeves beraksi sebagai John Wick, pembunuh upahan yang telah bersara yang menuntut bela terhadap sekumpulan samseng Rusia selepas kereta kesayangannya dicuri, anjing peliharannya dibunuh, dan dia sendiri dipukul dan dicederakan dengan teruk dalam rumahnya sendiri. Filem John Wick: Chapter 2 memperkenalkan organisasi High Table, sekumpulan ketua-ketua penjenayah yang menguruskan aktiviti jenayah di seluruh dunia. Pengakhiran filem berkenaan dibiarkan tergantung, di mana Wick menghilangkan diri selepas diburu hampir keseluruhan organisasi penjenayah di dunia. Lionsgate mengumumkan filem ketiga John Wick pada tahun lepas, dan sudah tentunya Keanu Reeves akan kembali membawakan watak utama berkenaan.
Antara nama-nama yang disebut untuk filem John Wick: Chapter 3 ini adalah seperti Lawrence Fishburne, Ruby Rose, Common dan Ian McShane. Turut dikhabarkan akan muncul adalah Hiroyuki Sanada sebagai penjahat utama filem tersebut.
Post a Comment