Penerbit Fast & Furious Menyaman Universal Angkara Filem Spinoff Hobbs And Shaw

Filem akan datang terbaru Dwayne Johnson and Jason Statham yang merupakan spinoff filem Fast & Furious, iaitu Hobbs & Shaw, bukan sahaja mengundang kemarahan Vin Diesel, tetapi juga penerbit Fast & Furious yang kini mengambil langkah untuk menyaman syarikat Universal.


Neal Moritz, penerbit untuk kesemua 8 filem Fast and Furious, dan pada awalnya turut dijangka sebagai penerbit untuk filem spinoff tersebut yang menampilkan watak utama Luke Hobbs dan Deckard Shaw, kedua-duanya dilakonkan oleh Johnson dan Statham. Menurut saman yang difailkan oleh peguam Moritz pada pagi Rabu di Los Angeles, dia mengatakan dirinya 'dilepaskan' sebagai penerbit hanya beberapa hari sebelum penggambaran dimulakan. Oleh itu, Moritz menyaman studio Universal atas sebab “melanggar kontrak lisan” dan “penipuan terancang” dan menuntut perbicaraan di hadapan juri.

Menurut dakwaan berkenaan juga, penerbit tersebut membuat perjanjian lisan dengan pengerusi  dan presiden Universal pada tahun 2017 untuk filem Hobbs & Shaw, yang dikatakannya dirancang bersama penulis lakon layar Chris Morgan bersama-sama Johnson, Statham, dan pengarah David Leitch. Walau bagaimanapun, menurut dakwaan itu, Universal "mengambil tindakan luarbiasa dan mengeksploitasi idea Moritz untuk filem Hobbs & Shaw."

Masih belum jelas tentang kesan saman yang difailkan terhadap Universal tentang filem spinoff tersebut, ataupun francais Fast & Furious secara keseluruhan. Filem Hobbs & Shaw kini sedang giat menjalani penggambaran, dan dijangka akan ditayangkan pada 2 Ogos 2019.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post