Awie Terkilan Dengan Jumlah Bonus Hantu Kak Limah
Pelakon utama filem Hantu Kak Limah (HKL), Datuk Awie meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan wang bonus diterima meskipun filem itu meraih kutipan RM38 juta.
Memetik laporan dari Harian Metro, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, jumlah itu tidak setimpal dengan usaha pelakon dan sumbangan pekerja belakang tabir filem itu.
“Berapa jumlah diterima, saya nak cakap pun malu. Tapi, kalau saya yang pelakon utama pun dapat ‘ciput’, berapa agaknya kru dapat? Bukan tidak bersyukur tetapi saya berasakan perkara ini tak patut berlaku.
“Sejujurnya, saya terkilan begitu juga dengan kru. Cuma mereka tak bersuara. Saya saja yang berani bercakap perkara ini sebab saya nak bela nasib anak seni. Ia bukan untuk saya saja, tetapi untuk semua.
“Biar umum tahu yang mana inilah situasi sebenar yang berlaku dalam industri perfileman negara. Malah, ini juga yang bakal dilalui artis lain pada masa akan datang jika perkara sebegini tidak ada penyelesaian terbaik,” katanya kepada Harian Metro.
Awie yang ditemui pada sidang media Dinner GIG 2018 FUFC The Fighters berkata, dia serik untuk berlakon dengan penerbit sama iaitu Infinitus Gold pada masa akan datang.
“Saya dengan Abang Mamat Khalid okey saja. Cuma, kalau filem ini ada sambungan daripada penerbit sama, saya takkan berlakon. Tak kisah kalau mereka nak matikan watak Husin itu.
“Ini adalah pertama dan terakhir saya bekerja dengan mereka. Jika selepas ini mereka nak tutup periuk nasi saya, silakan. Saya percaya kepada rezeki Allah dan banyak lagi penerbit yang nak bekerjasama dengan saya.
“Persoalannya sekarang, adakah bonus yang diberi kepada semua pelakon dan kru nilai yang selayaknya diterima jika mahu dibandingkan dengan kutipan puluhan juta yang diperoleh? Ini tak sepatutnya berlaku dalam industri. Apa salahnya balas dengan jumlah yang berbaloi,” katanya lagi.
Menurut Awie lagi, jumlah bonus yang diterimanya kali ini adalah sama seperti jumlah bonus menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, yang mencatatkan kutipan sebanyak RM8 juta.
“Pelik juga sebab masa filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, saya dapat bonus yang sama macam diterima untuk filem Hantu Kak Limah ini. Sedangkan, HKL kutipan lebih tinggi.
“Malah, saya dapat tahu produksi filem lain yang kutipan kurang daripada HKL masih boleh beri bonus yang banyak kepada pelakon dan kru mereka. Tapi tak apa lah, benda sudah jadi. Saya reda dan terima saja,” katanya lagi.
Selain Awie, HKL turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Dalimawati, Ropie, Zul Ariffin dan ramai lagi.
Post a Comment