James Gunn Kembali Mengarahkan Filem Guardians Of The Galaxy Vol. 3?


Disney telah memecat James Gunn sebagai pengarah filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 susulan kontroversi tweet lamanya dahulu, dan menjadi antara keputusan kontroversi dibuat oleh Disney sepanjang 2018. Kontroversi pemecatan itu juga menjadi kecaman peminat filem Marvel dan barisan pelakon Guardians of the Galaxy, terutamanya pemegang watak Drax, iaitu penggusti Dave Bautista, yang berdiri teguh di belakang James Gunn. Pemecatan Gunn juga telah menyebabkan jadual penggambaran dan tayangan filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 terpaksa ditangguhkan, dan sehingga kini, tiada pengarah lain yang sanggup mengisi kekosongan kerusi pengarah tersebut. Walaupun dipecat, skrip Gunn bagi filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 masih akan tetap digunakan untuk filem tersebut.

Kini, dalam satu pengumuman yang mengejutkan, Deadline melaporkan yang Disney baru sahaja mengembalikan kerusi pengarah filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 kepada James Gunn!

Menurut sumber berkenaan, keputusan tersebut dibuat beberapa bulan dahulu, susulan pertemuan antara pengurusan atasan Disney dan Marvel Studios. Dikhabarkan yang presiden Walt Disney Studios, Alan Horn telah bertemu dengan pembikin filem tersebut dalam beberapa siri pertemuan sebelum ini, dan bersetuju menerima semula Gunn selepas permohonan maafnya.

Susulan pemecatannya juga, Gunn telah bersetuju untuk terlibat sebagai pengarah dan akan sibuk untuk penggambaran filem The Suicide Squad di kem lawan kepada Marvel Studios, iaitu DC. Memandangkan Gun akan memfokuskan kepada filem The Suicide Squad yang dijadualkan untuk tayangan pada 6 Ogos 2021, nampaknya filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 pastinya akan memulakan produksi selepas tarikh tersebut, berkemungkinan pada tahun 2021.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post