Selain cerita animasi seperti Upin & Ipin dan Boboiboy yang mempunyai pengikutnya tersendiri, siri Ejen Ali juga tidak kurang hebatnya. Siri animasi yang telahpun memasuki musim kedua itu kini tampil dengan filemnya tersendiri iaitu Ejen Ali The Movie: Misi Neo dan kami telahpun menontonnya baru-baru ini.
Sepertimana siri TV-nya, filem Ejen Ali The Movie: Misi Neo berkisarkan watak Ali, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang tinggal di sebuah bandar dikenali Cyberaya, yang secara tidak sengaja mengaktifkan sebuah alat gajet dikenali sebagai IRIS (Infinity Retinal Intelligent Sytem). Ali seterusnya direkrut sebagai ejen oleh sebuah agensi rahsia dikenali sebagai MATA (Meta Advance Tactical Agency) yang bertanggungjawab mempertahankan Cyberaya daripada anasir yang ingin mengganggu keamanan di Cyberaya.
Sehingga kini, Ejen Ali menjalankan tugasnya dengan cemerlang dengan dibantu oleh IRIS. Apatah lagi, hanya Ali sahaja yang boleh sync dengan IRIS. Namun, situasi itu berubah apabila MATA membangunkan IRIS versi terbaharu, dikenali sebagai IRIS Neo. Jika berjaya, IRIS Neo akan boleh digunakan oleh ejen-ejen lain dan bukannya Ali seorang sahaja. Ini menyebabkan Ali mempersoalkan apakah dia diperlukan lagi oleh MATA selepas ini. Ini membawanya mengenali individu misteri iaitu Niki, yang merupakan sahabat karib kepada arwah ibu Ali, iaitu Aliya. Niki tinggal di kawasan dikenali sebagai Pinggiran, dan hidup dengan mencuri hasil-hasil ciptaan Cyberaya untuk kegunaan masyarakat di situ. Apakah rahsia yang cuba diselindung oleh Niki, dan berjayakah Ali menjalankan misinya sebagai ejen untuk MATA? Yang itu, korang kena saksikan sendiri.
Dari aspek animasi, jalan cerita, dan aksi-aksi yang ditampilkan, kami sangat kagum dengan hasil kerja pasukan kreatif untuk filem Ejen Ali The Movie: Misi Neo. Sesungguhnya, kami sangat bangga apabila produksi tempatan berjaya menghasilkan filem animasi aksi dengan sangat hebat sekali. Jalan cerita, terutamanya babak aksi yang ditampilkan, sesungguhnya bertaraf dunia, dan menyebabkan mata kami tak berganjak dari layar skrin. Babak emosi juga berjaya ditangani dengan cemerlang, dan walaupun ramai menganggap Ejen Ali ini hanyalah sekadar filem kanak-kanak, namun bukan sedikit orang dewasa (yang datang menonton untuk menemani anak-anak mereka) bergenang air mata apabila melihat babak penuh emosi yang ditampilkan di layar skrin. Terdapat juga babak yang mencuit hati ditampilkan (seperti adegan di kedai mamak). Nak tahu lebih lanjut, kenalah tonton di pawagam berhampiran korang!
Filem Ejen Ali The Movie: Misi Neo diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin dan ditulis bersama oleh Usamah, Shafiq Isa dan Fuad Md Din. Ianya merupakan filem pertama dari WAU Animation, dan ditayangkan serentak di pawagam-pawagam di 3 negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 28 November 2019.
Untuk filem Ejen Ali The Movie: Misi Neo ini, kami memberikan 4.9/5 bintang! Lagi berbaloi menonton filem ini berbanding Frozen 2!
Post a Comment