Filem Mechamato Akan Ditayangkan Sebelum Siri Animasi Tetapi Ditangguh ke Tahun 2021 Akibat COVID-19


Dalam satu pengumuman media mengejut, Monsta telah mendedahkan bahawa filem mereka yang seterusnya, Mechamato Movie kini dalam proses pembikinan dan akan membuat kemunculan di layar perak dahulu diikuti dengan siri animasi Mechamato. Mechamato Movie yang padal awalnya dirancang untuk ditayangkan pada penghujung tahun 2020, terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan disebabkan wabak COVID-19.



Meskipun Monsta belum mendedahkan apa-apa maklumat, kewujudan Mechamato Movie telah memulakan spekulasi dan perbincangan dalam kalangan peminat yang terkejut dengan perancangan syarikat itu untuk menayangkan Mechamato di layar perak terlebih dahulu. Pada bulan April yang lalu, Monsta telah melancarkan sebuah video pandang pertama berdurasi 3 minit dari siri animasi Mechamato yang telah mengumpul lebih 6.5 juta tontonan dari seluruh platform atas talian Monsta.    


Pengumuman mengejut itu telah dibuat oleh CEO Monsta sendiri, Nizam Abd Razak di Facebook yang menyatakan: 

“Berita sedih untuk peminat. Disebabkan pandemik COVID-19, Monsta terpaksa menundakan rilis Mechamato tahun ini. Produktiviti dan perancangan kami terganggu disebabkan WFH (work from home) dan keadaan ‘market’ yang tidak menentu. Sebenarnya kami merancang untuk mengeluarkan Mechamato Movie akhir tahun 2020 ini, dan kemudian disusuli oleh Mechamato Series. Disebab keadaan yang tidak menentu, Mechamato Movie akan dianjak ke 2021 dan kemudian akan disusuli oleh Mechamato Series”.


Mechamato berkisarkan pengembaraan seorang pemuda bernama Amato yang secara tidak sengaja menjadi pemilik MechaBot, sebuah Power Sphera yang mempunyai kebolehan untuk ‘Mechanize’ dengan objek lain. Bersama-sama, mereka boleh bergabung menjadi seorang wira berperisai, Mechamato. Kemunculan Amato yang telah dewasa dalam babak pasca-kredit BoBoiBoy Movie 2 telah mendedahkan identiti beliau sebagai ayah kepada BoBoiBoy.     

Di samping itu, Monsta ada berita gembira untuk para peminat: Sebuah projek BoBoiBoy baru yang dikenali sebagai B.I.G. sedang dalam pembikinan. Menurut CEO Monsta, projek B.I.G. bukanlah BoBoiBoy Galaxy Musim 2 tetapi sesuatu yang baharu. BoBoiBoy Galaxy Musim 2 pula hanya akan diterbitkan dalam bentuk komik buat masa ini.  

Meskipun wabak COVID-19 terus memberi kesan terhadap kehidupan seharian kita, Monsta berharap agar para peminat dari Malaysia dan seluruh dunia tetap memberi sokongan kepada syarikat itu untuk menghasilkan kandungan mesra keluarga yang berkualiti tinggi buat tatapan semua. 

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post