Masih lagi segar dengan filem Zack Snyder's Justice League, kini pengarah prolifik Zack Snyder kembali dengan satu lagi filem (disiarkan secara ekslusif di Netflix) iaitu Army of the Dead. Kami telahpun menonton filem ini pada minggu lepas, dan berikut adalah review filem Army of the Dead dari kami.
Army of the Dead mengambil latar di bandar Las Vegas selepas seorang manusia yang dijangkiti dan bertukar menjadi zombie telah terlepas ketika dipindahkan oleh pihak tentera. Disebabkan itu, zombie tersebut telah menyerang tentera yang terlibat dalam penghantaran tersebut, seterusnya menukarkan tentera tersebut juga menjadi zombie. Dipendekkan cerita, akhirnya bandar Las Vegas telah bertukar menjadi bandar zombie, menyebabkan pihak kerajaan dan tentera telah mengepung bandar Las Vegas dan 'memagar' kawasan tersebut dengan kontena-kontena tinggi untuk menghalang zombie-zombie itu dari terlepas ke dunia luar.
Watak Scott Ward (lakonan Dave Bautista) merupakan tentera upahan yang ditugaskan oleh seorang ahli perniagaan bernama Bly Tanaka (lakonan Hiroyuki Sanada) untuk membawa pulang wang jutaan dolar dari peti besi keselamatan dalam kasino milik Tanaka di Las Vegas itu, sebelum pihak tentera menjatuhkan bom nuklear ke bandar Las Vegas. Ward telah memilih beberapa orang yang dipercayai untuk bersama-sama membantunya dalam misi tersebut, dan berhadapan dengan zombie-zombie yang masih berada di bandar Las Vegas.
Dalam misi tersebut, selain berhadapan dengan zombie biasa, Ward dan pasukannya juga terpaksa berhadapan dengan zombie yang lebih pintar, laju dan ganas, selain ketua pasukan zombie atau zombie utama yang digelar Zeus. Zeus mempunyai susuk badan yang tegap dan kuat, dan merupakan ketua pasukan zombie yang menjadi penghalang usaha mereka mendapatkan duit dari peti besi keselamatan kasino tersebut.
Filem Army of the Dead turut menampilkan aspek kekeluargaan, di mana hubungan Ward dan anak perempuan menjadi renggang selepas Ward terpaksa 'membunuh' isterinya yang ketika itu sedang bertukar menjadi zombie. Tambah merumitkan keadaan apabila anak perempuan itu menjadi sebahagian ahli pasukan Ward dengan tujuan untuj menyelamatkan seorang kenalannya yang dikurung oleh zombie.
Adakah Ward dan pasukannya akan berjaya dalam tugasan ini? Yang itu, korang kenalah tonton sendiri filem Army of the Dead di Netflix.
Kami suka dengan scene, sinematografi dan soundtrack yang digunakan dalam filem ini. Cara Zack Snyder menampilkan suasana kehidupan di Las Vegas sebelum dan selepas 'serangan' zombie juga tampak hidup dan seperti kita sendiri berada di dunia nyata di Las Vegas. Filem ini dilihat cuba menggunakan kesan khas seminima mungkin, dan ini sesuatu yang menarik untuk filem-filem bergenre zombie seperti ini.
Kami berikan 4/5 bintang untuk filem Army of the Dead ini.
Post a Comment