PKP 3.0 ini adalah masanya untuk catch up dengan filem-filem di Netflix. Salah satu filem yang baharu sempat kami tonton adalah Split, arahan M. Night Shyamalan yang menampilkan James McAvoy (X-Men: Apocalypse) sebagai watak utama. Filem ini merupakan sambungan filem Unbreakable (2000) dan merupakan filem kedua dalam trilogi filem Unbreakable (filem ketiga bertajuk Glass yang ditayangkan pada 2019).


Split mengisahkan seorang lelaki bernama Kevin Wendell Crumb yang menghidap dissociative identity disorder (DID) dan mempunyai 23 personaliti berbeza ataupun split personality. Setiap satu personaliti tersebut mempunyai perwatakan, kegemaran, kekuatan dan kelemahan tersendiri, antaranya Barry, Dennis dan Patricia. Personaliti bergelar Barry digambarkan sebagai 'pengawal situasi' dan akan memilih personaliti mana yang boleh dan tidak boleh muncul. Barry tidak membenarkan personaliti bergelar Mr. Dennis dan Patricia untuk muncul disebabkan kecenderungan Mr. Dennis untuk menganiaya remaja perempuan, manakala Patricia pula terlalu obses dengan satu entiti asing yang digelarnya sebagai "The Beast". Kevin (dalam personaliti Barry) mendapatkan rawatan daripada pakar terapi, Dr. Karen Fletcher yang perasan perubahan kepada Kevin (dalam personaliti Barry) dan dapat merasakan yang Dennis telah mengambil alih peranan Barry sebagai personaliti dominan kepada Barry. 

Split bermula apabila Kevin (dalam personaliti Dennis) menculik 3 orang remaja perempuan dan menyembunyikan mereka di suatu tempat asing. Pada mulanya, ketiga-tiga remaja tersebut menyangka ianya hanyalah penculikan biasa, namun terkejut apabila melihat Kevin (dalam personaliti Patricia) sedang berbual dengan karakter Dennis, walaupun ketika itu Kevin sedang berpakaian wanita (sebagai karakter Patricia).  TIdak lama selepas itu, Kevin bertukar personaliti lagi, kali ini menjadi Hedwig, seorang kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun. 


Ketiga-tiga remaja perempuan tersebut beberapa kali cuba untuk melarikan diri, namun tidak berjaya. Setiap kali cuba melarikan diri, Kevin (dalam personaliti Dennis) akan mengasingkan remaja perempuan tersebut dalam bilik yang berlainan. Mereka semakin terdesak untuk melarikan diri kerana dalam satu sesi bersama Dr. Fletcher, Kevin (dalam personaliti Barry) menyatakan ada satu lagi personaliti yang akan muncul, iaitu personaliti ke-24 yang digelar The Beast dan mempunyai sifat kebinatangan dan ganas. Semakin lama, watak The Beast ini akan menjadi semakin kuat dan akan mengambil alih kedudukan sebagai personaliti paling kuat dan dominan. 


Dapatkah mereka menghalang watak The Beast ini muncul, seterusnya menyelamatkan diri? Jangan lupa tonton filem ini nanti.

Secara keseluruhannya, olahan filem Split sangatlah baik. M. Might Shyamalam memang amat tepat dengan ciri-ciri filem seperti ini, dan berjaya menimbulkan elemen suspens kepada penonton. Malah pelakon utamanya juga, James McAvoy berjaya membawakan watak penghidap DID dengan berkesan sekali.

Di penghujung filem Split ini, ada kemunculan cameo oleh Bruce Willis sebagai David Dunn, yang sebelum ini muncul dalam filem Unbreakable (200), juga arahan M. Night Shyamalan, seterusnya mengaitkan filem tersebut dengan jalan cerita filem Split

Kami berikan 4.5/5 bintang untuk filem Split ini.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post