Satu lagi filem tempatan yang mengetengahkan tema time travel akan ditayangkan. Diberi tajuk Antaramasa, filem terbitan Lux Ambiance Media Production ini merupakan idea asal Umair Mohamed dan Amir Rashid Othman, yang mendedahkan kecintaan mereka terhadap genre filem sains fiksyen.


Filem Antaramasa mengisahkan watak Asri (lakonan Josiah Hogan), seorang sarjana dalam bidang sains fizik yang telah mencipta sebuah mesin tenaga kekal, yang didapatinya dapat membawanya balik ke masa silam. Dengan pengetahuan yang dimilikinya tiu, dia berusaha balik ke zaman silam untuk memperbaiki hubungan dengan kekasihnya Malisa (lakonan Kaka Azraff). Namun, tindakannya itu menyebabkan wujudnya beberapa garis masa berlainan, dan menimbulkan masalah yang lain pula. 


Filem Antaramasa membariskan pelakon-pelakon seperti Adam Shahz, Riezman Khuzaimi dan Indi Nadarajah, selain kemunculan khas pelakon-pelakon filem XX-Ray 2 seperti Aziz M. Osman dan Aleeza Kasim. Untuk rekod, filem XX-Ray dan XX-Ray 2 merupakan antara filem tempatan paling awal yang bereksperimentasi dengan tema time travel, genre yang kini cuba disusuli pula oleh filem Antaramasa.

Antaramasa akan mula ditayangkan di saluran Astro First bermula 1 Julai 2021 (hari ini). Untuk melanggan, jangan lupa ke saluran 480 atau melayarinya di Astro Go  atau On Demand.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post