The Old Guard mengisahkan tentang sekumpulan tentera upahan, diketuai Andromache "Andy" dari Scythia (lakonan Charlize Theron) yang mempunyai kuasa untuk sembuh sendiri dari sebarang kecederaan, dan tidak meningkat usia walaupun telah hidup selama ribuan tahun. Namun, kuasa mereka ini bukanlah kekal dan boleh hilang pada bila-bila masa sahaja tanpa dijangka, seolah-olah ada expired date, dan mereka sendiri tidak tahu bila kuasa mereka ini akan hilang. Disebabkan itu, mereka hidup dan 'mengalami' beberapa sejarah peradaban dunia, seperti perang-perang di zaman silam, dan penglibatan mereka dalam beberapa insiden penting dunia itu telah menarik perhatian ejen CIA bernama Copley (lakonan Chiwetel Ejiofor) yang diupah oleh seorang pemilik syarikat farmaseutikal yang ingin menjadikan mereka sebagai bahan ujikaji untuk mengaut keuntungan.
Jalan cerita filem The Old Guard ini nampak seperti agak tipikal pada awalnya, namun berjaya menarik perhatian kami untuk menonton filem ini sehingga ke akhir. Apatah lagi setelah mereka mendapat tahu terdapat seorang lagi individu, iaitu seorang tentera wanita yang juga menerima nasib seperti mereka. Jadi mereka perlu cepat untuk menyelamatkan wanita terbabit sebelum dijadikan bahan ujikaji. Elemen aksi dalam filem The Old Guard ini juga tidak keterlaluan, namun tidaklah bosan dengan dialog yang meleret-leret.
Walaupun ditunjangi pelakon kelas A, namun Charlize Theron juga tidaklah terlalu menonjol dan overshadow pelakon-pelakon lain. Dan di penghujung filem ini juga, nampaknya ada hint yang Netflix akan menghasilkan sambungan filem ini nanti.
Bagi kami, filem The Old Guard sememangnya menepati jangkaan kami dari segi jalan cerita, koreografi pertarungan dan aksi yang dipaparkan. Tiada elemen CGI yang keterlaluan, dan walaupun bermain dengan elemen penghidupan abadi (immortal), ianya masih berpijak di dunia nyata.
Kami berikan rating 4/5 bintang untuk filem The Old Guard, yang boleh ditonton di saluran Netflix.
Post a Comment