Ramai peminat filem teruja apabila Marvel Studios mengumumkan akan menghasilkan filem berkisarkan watak Shang-Chi, kerana ianya merupakan langkah ke hadapan untuk Marvel selepas penghasilan filem Black Panther yang menampilkan hampur keseluruhan pelakon berkulit hitam, dan mencatatkan rekod kutipan pecah panggung. Pengumuman filem Shng-Chi sudah tentunya memberi ruang kepada Marvel Studios untuk mengembangkan lagi latar belakang ethnicity watak adiwira mereka, dan membolehkan representasi dari Asia pula ditampilkan untuk filem baharu ini.


Filem Shang-Chi and the Legend of The Ten Rings diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, dan menampilkan barisan pelakon seperti Simu Liu (sebagai Shang-Chi), Awkwafina (sebagai Katy), Ben Kingsley (menyambung wataknya sebagai Trevor Slattery/ fake Mandarin), Benedict Wong (melakonkan watak Wong), di samping nama-nama besar di Asia seperti Tony Leung (sebagai Wenwu/ Mandarin) dan Tan Sri Michelle Yeoh (sebagai Jiang Nan). 

Berbeza dengan filem Eternals, filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings kembali kepada resepi sebenar filem MCU; jalan cerita yang bersahaja, komedi ringan yang tidak keterlaluan, perjalanan si adiwira menemui kekuatan dirinya sebenar, dan aksi pertarungan yang mendebarkan. Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings berlatarkan kehidupan Shang-Chi di San Francisco, yang menggunakan nama Shaun dan bekerja sebagai penjaga valet di sebuah hotel. Kehidupan sehariannya biasa sahaja, sebelum tiba-tiba diancam oleh beberapa penjahat yang cuba merampas loket pusaka peninggalan mendiang ibunya yang sentiasa dibawa ke mana-mana. 


Peristiwa tersebut memaksanya untuk berangkat ke Macau dan memberi amaran kepada adiknya, Xialing. Walau bagaimanapun, kepulangannya ke Macau menjadikan suasana bertambah rumit, setelah mereka berdua berjaya dijejaki oleh bapa mereka, Wenwu, yang ingin menggunakan loket dipakai kedua-dua adik beradik itu untuk menjejaki laluan masuk ke kampung misteri didiami mendiang ibu mereka, yang juga merupakan tempat di mana satu kuasa kejahatan dikurung dan dihalang dari memusnahkan dunia. 

Peminat filem dari Asia sudah pastinya teruja apabila seorang adiwira berlatarkan bangsa Asia diangkat menjadi adiwira dan seterusnya mempunyai filemnya sendiri. Apatah lagi barisan pelakon filem ini juga membariskan ramai pelakon berketurunan Asia.  Filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings ini menjadi platform untuk menonjolkan kebudayaan dan pengaruh elemen mistik benua Asia, terutamanya bangsa Cina, ke dalam filem yang diangkat sebagai salah sebuah naskhah filem MCU.


Walaupun ada elemen yang ditampilkan agak keterlaluan dan 'keluar' dari dunia nyata, peminat filem sudah tentunya tidak boleh membandingkan filem ini dengan dunia realiti. Itulah kekuatan sebenar filem ini, yang mana cuba mengangkat elemen mitos dari benua Asia untuk dihayati oleh masyarakat dunia luar. 


Walaupun tidak digelar sebagai Mandarin dalam filem ini, namun penampilan Tony Leung sebagai Wenwu/ Mandarin yang menggunakan senjata mistik berupa 10 gelang ajaib, sememangnya menampilkan sisi lain untuk watak antagonis dalam filem MCU. Tony Leung membawakan watak tersebut dengan kelas tersendiri, menunjukkan karismanya sebagai pelakon terkenal di Asia. Tidak menghairankan kenapa Marvel memilih beliau untuk melakonkan watak Mandarin yang sememangnya salah satu watak antagonis terpenting dalam MCU. 


Tidak dilupakan juga pelakon kelahiran Malaysia,  Tan Sri Michelle Yeoh yang turut menampilkan kelasnya yang tersendiri. Melihatkan beliau dalam filem ini seolah-olah kembali kepada wataknya dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon. Hebat!

Kami berikan 4.5/5 bintang untuk filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post