Sekali lagi, Marvel Studios berjaya outdone filem-filem terdahulu mereka dengan penayangan filem Spider-Man: No Way Home. Apa yang lebihnya filem Spider-Man: No Way Home ini berbanding filem-filem MCU yang lain? Jom baca review filem Spider-Man: No Way Home ini sampai habis.
BERKAITAN: Trailer Kedua Filem Spider-Man: No Way Home Kini Diperlihatkan!
Menyorot kembali di penghujung filem Spider-Man: Far From Home, identiti rahsia Spider-Man akhirnya terbongkar apabila terpampang di skrin gergasi di kotaraya New York, di mana editor Daily Bugle, J. Jonah Jameson (kembali dilakonkan oleh J.K. Simmons dari wataknya dalam trilogi Spider-Man arahan Sam Raimi) telah melaporkan identiti sebenar Spider-Man dan dituduh membunuh Mysterio. Pendedahan ini telah mengubah kehidupan harian Peter Parker secara drastik, dan menimbulkan tekanan dan ancaman kepada mereka yang rapat dengannya, seperti Aunt May, Ned dan MJ.
Akibat perasaan bersalah, Peter mengambil keputusan untuk meminta bantuan dari Dr. Strange untuk menggunakan apa jua cara untuk membuatkan semua orang lupa tentang identiti dirinya. Malangnya, gangguan Peter yang kerap mengganggu Dr. Strange ketika beliau sedang membaca jampinya telah menyebabkan ketidakstabilan, menyebabkan jampi itu tidak menjadi. Menyangkakan ianya hanyalah kegagalan biasa, Peter menjadi pasrah dan terpaksa menerima hakikat yang beliau akan berhadapan dengan situasi tersebut sepanjang hayatnya. Namun hakikatnya, jampi tersebut telah menjadikan dunia realiti menjadi tidak seimbang, menyebabkan beberapa portal dunia lain terbuka, dan membuka ruang beberapa musuh dari dunia Spider-Man yang lain untuk berkunjung ke dunia Peter dan menimbulkan kekacauan yang tak dijangka. Berjayakah Peter mengekang ancaman baharu ini, dan mengembalikan keseimbangan dan keamanan kepada dunia sebenarnya? Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam berdekatan.
BERKAITAN: Tajuk Rasmi Filem Spider-Man 3 Telah Diumumkan!
Filem Spider-Man: No Way Home ini banyak bermain dengan emosi, dan kerap mengetengahkan persoalan "Kalaulah begitu...", "Kalaulah begini...". "Kalau saya tak buat...", menampakkan dilema dalam diri Peter yang merasakan dirinya berhadapan dengan pilihan yang maha hebat. Di sini dapat dilihat yang Spider-Man, walaupun seorang superhero, masih hanya manusia biasa yang juga membuat kesilapan dalam memilih dan membuat keputusan, tak kira keputusan kecil mahupun keputusan besar, seperti meminta Dr. Strange mengaktifkan jampi untuk membuatkan semua orang melupakan identiti sebenarnya.
Paling dinantikan para peminat, seperti mana dari trailer filemnya, adalah kemunculan semula watak-watak dari filem-filem Spider-Man terdahulu. Penampilan semula Green Goblin, Dr. Octopus, Lizard, Electro dan Sandman mendatangkan sorakan gamat dalam pawagam. Apatah lagi watak Norman Osborne/ Green Goblin lakonan Willem Defoe yang beraksi cemerlang, walaupun tidak mengenakan sut Green Goblin sepanjang masa. Lontaran dialog, reaksi muka, karakter yang berubah-ubah menyebabkan penonton filem hampir mudah jatuh kasihan terhadap watak Norman Osborne, sebelum menunjukkan belang sebenarnya di penghujung filem.
Dan sudah tentunya, kemunculan semula watak Spider-Man versi Tobey Maguire dan Andrew Garfield. Selepas lama berteka-teki dan cuba 'diintai' para peminat dari filemnya, akhirnya keterujaan kami tak dapat dibendung lagi apabila kedua-dua pelakon ini muncul melalui portal yang dibuka oleh Ned. Sudah tentunya seluruh pawagam bersorak apabila kedua-dua Spider-Man ini muncul di layar perak. Malah, menghampiri penghujung filem ini, ada beberapa moment yang kami jamin akan menjadi moment paling epik untuk seluruh peminat Spider-Man, dan peminat filem MCU umumnya. Sempat juga mereka menghasilkan semua adegan meme yang terkenal bagi ketiga-tiga Spider-Man, dan interaksi antara Tobey Maguire, Andrew Garfield dan Tom Holland juga semenangnya menarik.
Sekali lagi Marvel Studios berjaya menghasilkan filem MCU yang epik dan bakal diingati untuk tempoh yang lama. Banyak kejutan ditampilkan dalam filem ini, dan Marvel seolah tahu dan faham apa yang dinginkan oleh peminat mereka untuk filem ini. Seolahnya, mereka bertanya sendiri dengan peminat tentang apa yang mereka ingin tonton, dan itulah yang disajikan kepada penonton filem.
RATING SEMBANGFILEM : 4.7/5 bintang
Post a Comment