Francais filem Fast & Furious, yang asalnya hanya berkisar tentang budaya kereta import Jepun secara underground di Amerika, kini menjadi antara francais filem paling berjaya dalam sejarah perfileman. Setiap filem terbaharu akan menampilkan barisan pelakon-pelakon terkenal, dan tidak ketinggalan aksi pertarungan dan stunt yang semakin hebat. Kini, keluarga filem Fast & Furious menjadi semakin besar setelah diumumkan yang Jason Momoa akan muncul dalam filem Fast & Furious 10.
Kemelut yang melanda antara Vin Diesel dan Dwayne Johnson sebelum ini hampir memusnahkan francais filem tersebut, dan walaupun dikhabarkan yang kedua-dua bintang terkenal itu telahpun 'berdamai', Johnson secara terbuka telah mengumumkan yang beliau tidak akan kembali berlakon dalam francais filem itu walaupun setelah dipujuk oleh Vin Diesel. Disebabkan itulah, watak baharu bakal ditonjolkan, dan beliau yang dimaksudkan adalah Jason Momoa.
Menurut laporan The Hollywood Reporter, bintang Aquaman itu bakal tampil dalam filem kesepuluh dalam francais filem Fast & Furious, dan mungkin muncul sebagai watak penjahat terbaharu. Walaupun begitu, masih belum ada pengesahan tentang plot jalan cerita filem Fast 10 itu nanti. Buat masa ini, tarikh tayangan filem Fast 10 itu dijadualkan pada 19 Mei 2023.
BERKAITAN: Saksikan Trailer Terakhir Filem Fast & Furious 9 - Bakal Ditayang Jun Ini
Fast & Furious 10 sekali lagi akan diarahkan oleh Justin Lin, dan djangka menampilkan kembali barisan pelakon seperti Vin Diesel, Tyrese Gibson, Michelle Rodriguez, Jordana Brewster, Ludacris, Nathalie Emmanuel, dan Sung Kang.
Post a Comment