Kami baru berkesempatan menonton filem Don't Look Up (2021) di saluran penstriman Netflix, dan ini adalah review filem Don't Look Up dari kami.
Apa jadi kalau terdapat sekumpulan saintis memberi amaran yang komet bakal menghentam Bumi, namun tidak diendahkan oleh kerajaan? Itulah premis yang cuba dipaparkan dalam filem ini. Kami tertarik untuk menonton filem Don't Look Up (selepas beberapa kali scroll senarai filem di Netflix) disebabkan barisan pelakonnya yang terdiri daripada Leonardo DiCaprio, Jennifer Lawrence, Jonah Hill, Timothée Chalamet, Ron Perlman, Ariana Grande, Cate Blanchet dan Meryl Streep.
Filem Don't Look Up boleh dikatakan filem satira, dan menonjolkan bagaimana kerajaan yang menggunakan helah untuk menyelamatkan karier politik mereka, seperti mana watak Presiden Amerika Syarikat lakonan Meryl Streep. Walaupun telah dinasihatkan oleh seorang profesor astronomi bernama Dr. Mindy (lakonan Leonardo DiCaprio) dan Kate Dibiasky (lakonan Jennifer Lawrence) yang menemui sebuah komet besar yang bakal menghentam Bumi dalam tempoh 6 bulan, namun amaran mereka seolah-olah tidak diendahkan oleh kerajaan, yang lebih memikirkan tentang skandal melibatkan Presiden, dan untuk mengekalkan kuasa dalam pilihanraya yang bakal menjelang. Mereka cuba menggunakan media untuk menyebarkan mesej tersebut, namun media pula lebih memikirkan tentang rating dan berita viral, sehingga netizen juga menjadikan amaran mereka sebagai parody semata-mata apabila watak Kate Dibiasky 'mengamuk' dalam satu acara TV secara live ketika mereka berdua cuba menyampaikan mesej penting tersebut kepada seluruh penduduk Amerika dan dunia.
Terdapat pelbagai elemen dan tema yang cuba dipaparkan dalam filem Don't Look Up, antaranya tentang kuasa, permainan politik, kuasa media sosial, skandal, sikap manusia yang suka bersikap sambil lewa, kekeluargaan, percintaan, putus asa, ahli perniagaan yang cuba mengaut keuntungan berganda di sebalik bencana yang bakal berlaku, dan sebagainya. Disebabkan komet yang bakal menghentam Bumi tersebut adalah sangat besar dan digelar 'planet killer' kerana bakal membawa kepupusan, apakah yang bakal kita lakukan di saat-saat akhir kehidupan? Apatah lagi tempoh masa untuk hidup itu dapat dihitung? Jangan lupa saksikan filem Don't Look Up yang kini boleh ditonton di saluran penstriman Netflix.
Barisan pelakon hebat sudah tentunya menjadi tarikan utama untuk menonton filem Don't Look Up. Walaupun ramai, namun pengarah berjaya menyeimbangkan pelakon-pelakon ini untuk muncul dalam babak-babak penting mengikut urutan tanpa dibayangi antara satu sama lain. Dan sesuai dengan temanya iaitu satira, sudah tentunya banyak elemen yang sebenarnya tidak berlaku pun jika berlaku di dunia sebenar, tetapi di sebaliknya, pengarah bermain dengan elemen di sebalik apa yang ditanggap oleh masyarakat luar, yang jelas dapat dilihat terutamanya babak melibatkan ahli politik, yang bermuka-muka dan hanya mementingkan diri sendiri. Selain itu, bagaimana pengaruh media, yang jika digunakan untuk perkara yang salah, akan memberikan mesej yang salah kepada masyarakat. Dan akhirnya, apabila yang dianggap mustahil itu bakal berlaku, barulah tindakan sebenar ingin diambil. Dan ianya sudahpun terlalu lewat untuk dilaksanakan.
RATING SEMBANGFILEM: 4/5 bintang
Post a Comment