Kami baru berkesempatan menonton filem Metal Lords (2022) di saluran penstriman Netflix, dan ini adalah review filem Metal Lords dari kami.
Filem Metal Lords mengisahkan tentang Hunter (lakonan Adrian Greensmith), seorang peminat tegar muzik heavy metal dan mengabdikan seluruh hidupnya untuk muzik heavy metal. Pendek kata, kod kehidupannya adalah sepenuhnya heavy metal, dan diterjemahkan dalam pemilihan muzik, pakaian dan juga penampilan seharian. Beliau masih di bangku sekolah, namun selepas waktu persekolahan, beliau bersama-sama rakannya Kevin (lakonan Jaeden Martell) menganggotai sebuah band heavy metal dinamakan SkullFucker. Mereka berhasrat bertanding dalam pertandingan Battle of the Bands di sekolah mereka, dengan Hunter bertindak sebagai gitaris dan vokalis, manakala Kevin sebagai drummer. Namun, mereka masih tidak mempunyai bassist. Kevin berhasrat membawa rakan perempuannya Emily (lakonan Isis Hainsworth), yang merupakan pemain cello, namun tidak dipersetujui oleh Hunter kerana melanggar kod heavy metal. Pelbagai perkara berlaku menjelang pertandingan Battle of the Bands tersebut, menyebakan perubahan saat-saat akhir dan misi pertandingan yang cuba dipenuhi. Berjayakah Kevin membawa Emily ke dalam band tersebut? Dan berjayakah mereka memenangi Battle of the Bands? Jangan lupa saksikan filem Metal Lords yang kini ditayangkan di Netflix.
Menonton filem ini, kami tak dapat mengelak dari membandingkannya dengan filem School of Rock. Ya, ianya tidaklah sama 100% dengan filem School of Rock, tapi sedikit sebanyak bolehlah dikatakan filem Metal Lords ini merupakan School of Rock versi dewasa (walaupun anggota band tidaklah seramai ahli dalam filem School of Rock). Walaupun berlatarkan muzik heavy metal, sebenarnya yang lebih ditekankan dalam filem ini adalah dilema remaja yang mahukan perhatian, mahukan kewujudan mereka disedari, dan konflik dalaman remaja yang sedang meniti kedewasaan.
Selain itu. Metal Lords turut menampilkan beberapa ikon pemuzik heavy metal, seperti Tom Morello (Rage Against The Machine - yang turut bertindak sebagai produser muzik untuk filem ini), Scott Ian (Anthrax), Kirk Hammett (Metallica) dan Rob Halford (Judas Priest), yang membuat kemunculan cameo dalam salah satu adegan.
Tarikan untuk filem ini sudah tentunya adalah lagu-lagu heavy metal itu sendiri. Bagi penggemar lagu heavy metal (seperti kami), mendengarkan intro lagu heavy metal ikonik seperti War Pigs, Whiplash, The Trooper dan Painkiller sudah cukup membuatkan kami tersenyum, di sebalik jalan cerita yang sudah boleh dijangka.
REVIEW SEMBANGFILEM : 3.8/5 bintang
Post a Comment