Episod ketiga siri Disney+ Moon Knight diberi tajuk "The Friendly Type” meneruskan kesinambungan episod terdahulu dalam pembinaan kisah dan penceritaan personaliti Steven Grant dan Marc Spector, selain mengembangkan lagi dunia Marvel Cinematic Universe (MCU) yang kini menentuh elemen mistik di Mesir.
BERKAITAN: Review Siri Disney+ Moon Knight Episod 1 & 2 - Apa Yang Menarik?
Buat pertama kalinya, Moon Knight diliuhat mempunyai hubungan secara langsung dengan siri-siri dan filem MCU yang lain, apabila nama negara (rekaan) Madripoor ada disebutkan, yang kali terakhir dipaparkan di skrin dalam siri Disney+ The Falcon and The Winter Soldier yang ditayangkan pada 2021.
Moon Knight episod 3 memfokuskan kepada watak antagonis Arthur Harrow, yang selepas mendapat kompas scarab keemasan dalam episod terdahulu, telah pergi ke Mesir dan menjejak makam Ammit. Dalam masa yang sama, Marc Spector turut ke Mesir dan menjejak lokasi penggalian makam Ammit tersebut.
Dalam satu adegan di atas bumbung melibatkan beberapa individu ketika cuba mendapatkan maklumat lokasi makam Ammit, personaliti Marc Spector dan Steven Grant telah bertukar antara satu sama lain, yang diakhiri dengan 3 dari individu teresbut menemui maut. Walau bagaimanapun, kedua-duanya menafikan telah membunuh ketiga-tiga individu tersebut. Di saat ini, dan seperti mana yang didedahkan di laman forum Internet, ramai menyatakan yang satu lagi personaliti, iaitu Jack Lockley telah mengambil alih sebagai personaliti dominan ketika itu. Tetapi benarkah ianya personaliti Jack Lockley yang ditampilkan, kerana nama itu masih belum disebut setakat ini dalam siri Moon Knight?
Disebabkan situasi semakin meruncing, Marc meminta Khonshu memanggil kesemua dewa dan avatar mereka untuk berjumpa dalam satu sidang khas. Walau bagaimanapun, Khonshu tidak yakin dengan cara tersebut, kerana merasakan dewa-dewa yang lain tidak menyukainya, dan akan menggunakan apa jua cara untuk memerangkap Khonshu. Khonshu telah menggunakan cara unik untuk menarik perhatian para dewa, iaitu dengan menggunakan elemen cahaya di langit melalui gerhana bulan. Kami berpandangan ianya merupakan salah satu adegan yang paling menarik dalam keseluruhan MCU, selain visual di langit yang ditampilkan dalam filem Black Panther ketika T'challa berjumpa dengan leluhurnya. Marc dan Khonshu berjaya memanggil dewa dan avatar mereka untuk berkumpul dalam satu ruangan di Piramid Giza, namun akhirnya Khonshu diperangkap dan bertukar menjadi patung batu.
Selepas taktik itu tak berjaya, Marc dan Layla telah cuba mendapatkan klu kepada lokasi makam Ammit itu melalui keranda batu yang kini dalam simpanan seorang penjarah bernama Anton Mogart (lakonan terakhir mendiang Gaspard Ulliel) yang juga merupakan watak antagonis bergelar Midnight Man. Episod ini juga didekasikan kepada mendiang. Sekali lagi, helah mereka itu dapat dihidu, menyebabkan Anton dan konco-konconya menyerang Marc dan Layla. Keadaan ini memaksa Marc bertukar menjadi Moon Knight. Aksi pertarungan dalam episod ini lebih baik dari episod terdahulu, dan penonton dapat melihat aksi dengan sut Moon Knight yang lebih lama.
Secara keseluruhannya, Moon Knight episod 3 ini meneruskan keterujaan kami untuk menantikan sambungan episod terbaharu, dan adakah interaksi Moon Knight bersama-sama watak superhero lain MCU akan terlaksana. Dengan split personality yang dimiliki oleh Moon Knight, sudah pasti amat menarik untuk menantikan interaksi dengan watak-watak superhero lain nanti.
Post a Comment