Seperti pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, itulah yang akan disaksikan oleh penonton lewat buah tangan terbaharu pengarah berprolifik, Syamsul Yusof.
Karya terbaharu yang diterbitkan oleh Studio Kembara ini membentangkan sejarah penting dalam filem biografi epik, Mat Kilau.
Poster rasmi filem Mat Kilau telah dipamerkan sejak 13 Mei 2022 di semua laman sosial, manakala trailer rasmi akan dipertontonkan 16 Jun ini untuk khalayak. Filem hebat ini akan menemui penonton di 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun 2022.
Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.
Pelakon, Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab untuk menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Kilau. Selain beliau, filem Mat Kilau turut dibarisi pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su (sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah), Beto Kusyairy (sebagai Wahid), Khir Rahman (sebagai Usup), Fattah Amin (sebagai Awang), Johan As’ari (sebagai Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian (sebagai Toga).
Filem Mat Kilau menceritakan kisah Mat Kilau, seorang pahlawan Melayu bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya yang bangkit menentang penjajahan British. Filem Mat Kilau turut dikuatkan dengan barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, (sebagai Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali (sebagai Imam Bottoqh) Namron (sebagai Hj. Sulong), Shaharuddin Thamby (sebagai Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty (sebagai Ibu Yassin).
Filem Mat Kilau telah menelan kos sebanyak RM8 juta, dan menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.
Menurut kenyataan oleh penerbitnya, Shahruddin Dali:
“Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur. Filem arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi".
Filem Mat Kilau mengambil latar suasana tahun 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang, dan mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu serta mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu. Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang British. Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.
Tontonlah filem aksi tanpa henti ini, yang menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanahair tercinta.
Post a Comment