Usai kejayaan tayangan filem Scream (2022) ditayangkan, Paramount Pictures dan Spyglass Media tidak menunggu lama untuk mengumumkan penghasilan filem Scream 6. Dan kini, barisan pelakon yang tampil dalam filem terdahulu disahkan akan tampil kembali dalam filem terbaharu tersebut.
Menurut laporan oleh Variety, pelakon seperti Melissa Barrera, Jasmon Savoy Brown, Mason Gooding, dan Jenna Ortega telah disahkan akan tampil semula dalam filem Scream 6, menyambung watak mereka dari filem Scream (2022) yang ditayangkan pada Januari lalu. Walaupun begitu, masih belum ada plot jelas tentang filem tersebut.
BERKAITAN: Satu Lagi Sambungan Filem Scream Bakal Dihasilkan
Dalam filem Scream (2022), Melissa dan Jenna melakonkan watak adik-beradik Sam dan Tara Carpenter, yang berhadapan dengan ancaman pembunuh bersiri yang mengenakan topeng Ghostface. Dalam filem tersebut, telah didedahkan yang Sam sebenarnya adalah anak kandung kepada Billy Loomis (lakonan Skeet Ulrich), yang merupakan pembunuh asal yang mengenakan topeng Ghostface dalam filem Scream pertama dahulu.
Memetik laporan oleh Variety juga, Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett dilaporkan akan kembali sebagai pengarah filem Scream 6, dengan penggambaran pertama dijangka akan dimulakan seawal tahun ini juga, dan dijangka akan ditayangkan pada 31 Mac 2023.
BERKAITAN: Review Filem Scream (2022) - Filem Slasher Yang Kami Boleh Layan!
Filem Scream pertama yang ditayangkan pada 1996 menerima sambutan menggalakkan dari penonton, dan menjadi filem slasher seram yang mencatatkan rekod kutipan tertinggi, sebelum rekod tersebut dipecahkan oleh filem Scream (2022).
Post a Comment