Hari ini, selepas cuti perayaan yang panjang, barulah kami berkesempatan menonton filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness. Apa yang lebihnya filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness ini berbanding filem-filem MCU yang lain? Jom baca review filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness ini sampai habis.
Filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness menyaksikan kembalinya pengarah Sam Raimi ke filem superhero, selepas mengarahkan trilogi filem Spider-Man lakonan Tobey Maguire. Filem yang diberi penarafan PG13 di luar negara (dan P13 di Malaysia) menampilkan elemen mistik dan seram buat pertama kalinya dalam filem MCU.
BERKAITAN: Trailer Doctor Strange in the Multiverse of Madness Diperlihatkan, Ada Professor X!
Doctor Strange in the Multiverse of Madness terus dimulakan dengan adegan aksi tanpa bertangguh, di mana penonton diperkenalkan dengan watak Defender Strange (Dr. Strange dari universe berlainan) dan America Chavez, watak baharu yang diperkenalkan dalam filem MCU yang berupaya membuka portal berbentuk bintang dan boleh mengembara antara multiverse. Dalam masa yang sama, penonton disajikan pula dengan 'dilema' yang melanda Wanda Maximoff, yang cuba hidup bersama-sama 2 anak kembarnya kesan dari kejadian yang berlaku dalam siri TV WandaVision. Untuk ini, penonton yang tidak menonton siri TV tersebut mungkin akan menjadi sedikit keliru terutamanya apabila nama Westview disebutkan dalam perbualan antara Strange dan Wanda. Untuk mencapai objektifnya itu, Wanda berusaha untuk mendapatkan kuasa merentas multiverse yang dimiliki Chavez, tetapi dihalang oleh Dr. Strange. Disebabkan itu, Wanda bertukar menjadi Scarlet Witch dan memusnahkan hampir separuh dari Kamar-Taj, kubu pertahanan magik yang dikawal oleh Strange dan Wong (yang kini menjadi Sorcerer Supreme).
BERKAITAN: Berapa Lama Waktu Tayangan Filem Doctor Strange In The Multiverse Of Madness?
Dalam usaha mengekang Scarlet Witch dari mendapatkan kuasa dimiliki Chavez dan mengancam kewujudan semua realiti multiverse yang ada, Dr. Strange dan America Chavez secara tidak sengaja telah tercampak ke dunia multiverse yang lain dan di situ, mereka diperkenalkan dengan pasukan Illuminati, antara pasukan superhero yang terkenal dari panel komik Marvel. Manakala Scarlet Witch pula telah menggunakan kuasa ilmu hitam dari buku Darkhold untuk mengejar kedua-dua mereka bagi mendapatkan kuasa yang diinginkan, dan tidak kisah berapa ramaipun manusia yang akan terkorban demi mendapatkan apa yang diingininya. Berjayakah Dr. Strange menghentikan Scarlet Witch sebelum kemusnahan berlaku kepada semua realiti yang wujud? Jangan lupa saksikan filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness menyajikan banyak fan service yang tentunya dihargai oleh semua peminat filem MCU. Kemunculan Profesor X (yang kembali dilakonkan oleh Patrick Stewart dari trilogi filem X-Men pertama) sebagai salah seorang anggota Illuminati, dengan hoverchair kuning yang diambil terus dari siri kartun X-Men tahun 90-an semestinya menggamit memori peminat yang membesar di zaman itu (seperti kami). Apatah lagi, kendengaran muzik intro siri X-Men tersebut apabila sahaja nama Profesor X disebut, menambahkan lagi keterujaan kami!
Seperti mana filem Spider-Man: No Way Home, Marvel 'mendengar dan membaca' cadangan netizen apabila menampilkan John Krasinki sebagai Mr. Fantastic. Selain itu, watak Captain Carter dari siri Disney+ What If? juga turut direalisasikan di layar perak, Blackagar Boltagon a.k.a Black Bolt, yang dilakonkan semula oleh pelakon asal dari siri TV The Inhumans (yang dikritik hebat sebelum ini) iaitu Anson Mount, namun kali ini beliau mengenakan sut penuh Black Bolt lengkap dengan helmet kepala. Sekali lagi, fan service untuk peminat MCU. Begitu juga dengan watak Baron Mordo dan Captain Marvel (versi Maria Rambeau, bukan Carol Danvers), dan kesemua mereka ini adalah anggota Illuminati. Namun hampir kesemua watak tersebut menemui ajal dengan tragis kesan kuasa hebat yang dimiliki oleh Scarlet Witch. Pada awalnya kami rasakan macam eh senangnya superhero antara terkuat dan terhebat itu menemui ajal mereka dalam filem ini. Tetapi adalah ini 'ruang' kepada Marvel untuk memperkenalkan semula watak-watak seperti Profesor X dan Black Bolt dengan pelakon baharu? Yang itu kita sama-sama nantikan.
Bintang filem ini sudah semestinya adalah Elizabeth Olsen yang melakonkan watak Wanda Maximoff/ Scarlet Witch. Wataknya ini memerlukannya bermain dengan pelbagai emosi, dan dapat ditampilkan dengan cemerlang. Penonton dapat mendalami pergelutan emosi dalaman yang dialami, dan sedikit sebanyak akan berasa kasihan dengan watak tersebut selepas apa yang berlaku kepadanya dalam siri TV WandaVision. Sebab itulah kami katakan, kalau kalian tak menonton WandaVision, pasti tak akan faham motif kenapa Wanda bertindak seperti apa yang dilakukannya dalam filem ini.
Cuma yang agak menjadi kekurangan kepada kami tentang filem ini, adalah dari 'world-building' untuk konsep multiverse tersebut. Walaupun ada perkataan multiverse dalam tajuk filem ini, namun multiverse yang ditampilkan boleh dibilang dengan jari, ataupun hanya nampak sekilas sahaja kesan dari Dr. Strange dan Chavez yang tercampak merentas realiti. Sekiranya multiverse yang ada dikembangkan lagi dan diberikan latar yang lebih proper, kami yakin, penonton tidak akan ada masalah untuk menonton filem ini sekiranya durasi tayangannya dipanjangkan menjadi 3 jam.
Dari aspek aksi dan kesan khas, kami tiada isu besar kerana filem-filem MCU sememangnya terkenal dengan aksi dan kesan khas yang hidup. Apatah lagi sentuhan Sam Raimi yang sememangnya terkenal dengn filem bergenre seram, menghidangkan beberapa adegan jumpscare yang sememangnya mengejutkan penonton. Sebagai filem seram pertama dalam MCU, ianya tidaklah mengecewakan. Cuma personally kami merasakan ada lagi perkara yang boleh dikembangkan dalam filem ini.
Seperti biasa untuk rutin filem MCU, jangan lupa tunggu kerana ada 2 credit scene di pengujung filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness.
RATING SEMBANGFILEM: 4.2/5 BINTANG
Post a Comment