Hari ini, kami berkesempatan menonton filem Top Gun: Maverick (2022) di TGV 1 Utama. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Memang sesuai sangat menonton filem Top Gun: Maverick ini di panggung IMAX.
Top Gun: Maverick merupakan sambungan kepada filem Top Gun (1986), yang mana setelah 36 tahun, akhirnya terhasillah sambungan filem tersebut. Seperti mana filem terdahulu, ianya menampilkan semula Tom Cruise sebagai Kapten Pete "Maverick" Mitchell, dan Val Kilmer sebagai Tom "Iceman" Kazansky (kini sebagai Laksamana), di samping pelakon lain seperti Miles Teller, Jennifer Connelly, Jon Hamm, Glen Powell, Lewis Pullman dan Ed Harris.
Top Gun: Maverick mengisahkan watak Kapten Pete "Maverick" Mitchell yang walaupun selepas 36 tahun, masih berpangkat kapten kerana menolak kenaikan pangkat. Beliau terlibat dalam satu projek pesawat berteknologi tinggi yang amat berisiko, namun diancam untuk penamatan. Suatu hari, beliau dipanggil untuk mengendalikan latihan melibatkan beberapa orang calon juruterbang elit dari Top Gun untuk misi khas memusnahkan gudang penyimpanan bahan radioaktif, dan orang yang menugaskannya adalah tak lain dan tak bukan, sahabat lama dan 'seteru'nya sebelum ini iaitu Tom "Iceman" Kazansky yang kini berpangkat Laksamana. Dalam masa yang sama, Maverick sebenarnya keberatan untuk kembali, disebabkan masih tak dapat melupakan kemalangan yang menimpa sahabatnya sebelum ini (dalam filem terdahulu) iaitu Nick "Goose" Bradshaw. Tambah merumitkan keadaan apabila anak Goose, iaitu Leftenan Bradley "Rooster" Bradshaw juga tersenarai sebagai antara calon yang perlu dilatih dan dipilih oleh Maverick untuk misi khas tersebut. Rooster mempunyai perasaan marah kepada Maverick kerana merasakan Maverick adalah punca bapanya mati. Dapatkah Maverick melatih mereka dalam tempoh hanya beberapa minggu, menjadikan mereka pasukan yang hebat, dan menjayakan misi khas tersebut tanpa mengorbankan ahli pasukan itu? Jangan lupa saksikan Top Gun: Maverick di pawagam berhampiran bermula Khamis ini.
Secara jujurnya, berani kami katakan bahawa filem Top Gun: Maverick ini lebih baik dari filem terdahulu. Terlalu banyak adegan aksi melibatkan latihan penerbangan, dogfight melibatkan pesawat pejuang, dan adegan kejar-mengejar yang meenyebabkan penonton takkan bosan menontonnya. Waktu tayangan selama 2 jam 18 minit juga seolah-olah tidak terasa berlalu, disebabkan adegan aksi yang mantap, diselang-selikan dengan konflik-konflik melibatkan watak-wataknya. Kami tak pasti sekiranya ada aspek CGI yang digunakan dalam penggambaran filem ini, tetapi melihatkan kepada komitmen Tom Cruise, sudah pastilah beliau akan sedaya boleh akan cuba menampilkan elemen praktikal untuk stunt yang dilakonkan dalam filemnya, termasuklah filem Top Gun: Maverick ini. Penonton seolah-olah 'ditarik' untuk sama-sama berada dalam kokpit pesat pejuang seperti mana yang dipaparkan dalam filem ini. Terdapat juga babak komedi ringan yang bukanlah dipaksa atau sekadar tangkap muat, di sebalik keseriusan yang cuba ditampilkan dalam filem ini. Pastinya korang terkejut nanti dengan bintang yang kami berikan, sebab kami tak pernah berikan bintang sebegini untuk filem yang kami review.
Pengakhiran filem Top Gun: Maverick ini juga tidaklah seperti yang kami jangkakan. Sememangnya lari jauh adari jangkaan kami. Kami nasihatkan, tontonlah filem ini di pawagam nanti. Serius, anda pasti takkan menyesal. Easily filem terbaik untuk tahun 2022 setakat ini!
RATING SEMBANGFILEM: 5/5 BINTANG!
Post a Comment