Semalam, kami berkesempatan menonton filem Jurassic World Dominion (2022) di TGV Sunway Pyramid. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. 

Untuk filem kali ini, penonton diperkenalkan dengan entiti terbaharu, BioSyn yang merupakan syarikat mega yang menguruskan fasiliti penempatan dinosaur. Jurassic World Dominion dimulakan dengan penceritaan flashback tentang sejarah pengklonan semula dinosaur semenjak filem Jurassic Park dahulu, sehinggalah filem terakhir yang menyaksikan dinosaur kini hidup bersama-sama manusia dan spesies lain di habitat semulajadi. Konflik berlaku apabila satu serangan sekumpulan belalang juta (locust) yang mempunyai DNA dari zaman purba telah menyerang ladang tanaman, memusnahkan tanaman yang menjadi sumber makanan dan seterusnya mengancam bekalan makanan di seluruh dunia. Dalam masa yang sama, dinosaur yang hidup bebas menjadi tidak terkawal, dan menjadi ancaman kepada hidupan lain untuk menjadi spesies dominan di muka bumi. Dapatkah ancaman belalang juta ini ditangani, dan manusia dapat kekal hidup bersama-sama manusia ataupun hanya menjadi 'makanan' kepada dinosaur ini? Jangan lupa saksikan filem Jurassic World Dominion di pawagam berhampiran nanti.

Terus terang kami katakan, kami bukanlah penggemar filem Jurassic Park, dan tidak mengikuti secara rapat perjalanan francais filem ini. Tetapi kami boleh katakan, filem Jurassic World Dominion ini hanyalah sekadar percubaan studio perfileman untuk menjadikan francais filem ini 'hidup' dan 'berterusan'. Plot filem Jurassic World Dominion agak bersepah, dan tiada motif jelas, walaupun menampilkan barisan pelakon dari trilogi filem asal Jurassic Park seperti Sam Neill (sebagai Alan Grant), Laura Dern (sebagai Dr. Ellie Sattler) dan Jeff Goldblum (sebagai Dr. Ian Malcom). Kami rasakan penampilan mereka bertiga tidak memberi sedikit impak pun, dan hanya ditampilkan untuk 'mengaitkan' francais filem Jurassic World dengan trilogi filem Jurassic Park. Dan di tengah-tengah pengkisahan itu adalah watak Maisie Lockwood (lakonan Isabella Sermon) - seorang kanak-kanak perempuan yang di'klon' dalam filem terdahulu (Jurassic World: Fallen Kingdom) yang dikatakan sebagai kunci untuk evolusi seterusnya. 

Setelah menonton filem Jurassic World Dominion, kami merasakan yang watak dinosaur yang ditampilkan hanyalah sebagai pelengkap cerita dan tangkap muat sahaja, semata-mata untuk mengaitkan elemen dinosaur dengan tajuk filem. Hanya letakkan beberapa dinosaur dalam scene yang berlainan, adakan sedikit jumpscare di sana sini, dan boom! Dapatlah filem ketiga Jurassic World. Seperti yang kami katakan tadi, plot filem ini agak bersepah, jalan cerita tak meyakinkan, malah lebih menyedihkan, interaksi di antara pelakonnya yang kelihatan agak lemah. Apatah lagi, ada adegan yang dirasakan agak meleret, terutamanya plot untuk menghapuskan belalang juta yang mengancam tanaman di seluruh dunia. Seriuslah, belalang juta, dalam filem bertemakan dinosaur?

Sedikit elemen komedi yang cuba ditampilkan dalam filem Jurassic World Dominion ini juga nampak tidak menjadi, dan menjadi sedikit cringe di beberapa adegan. Namun tidak dinafikan penampilan semula dan interaksi watak dari filem Jurassic Park seperti Dr Alan Grant, Dr Ellie Sattler dan Dr Ian Malcolm dalam filem ini sedikit sebanyak membantu menyeimbangkan watak-watak dari pelakon lain. 

Jurassic World Dominion bermain dengan jalan cerita yang cliche dan boleh dijangka, dengan adegan jumpscare yang banyak, namun agak bosan bila kerap diulang-ulang. Apatah lagi, watak-watak dinosaur hanyalah pelengkap cerita, dan bukanlah watak utama. Masih ingat dengan francais filem Transformers? Ingat bukan? Begitulah kelihatannya dengan filem Jurassic World Dominion ini. Akhirnya filem berakhir dengan penamat gembira, namun tiada apa yang menarik untuk diingati dari filem ini.

RATING SEMBANGFILEM: 3.5/5 BINTANG


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post