Universal dilaporkan akan menghasilkan filem baharu The Green Hornet, dan telahpun menemui pengarah yang sesuai untuk filem baharu tersebut.

Menurut laporan oleh portal Deadline, pengarah Leigh Whannell kini dalam perbincangan akhir untuk mengarahkan filem The Green Hornet and Kato, yang akan diterbitkan oleh Universal Pictures.

Filem The Green Hornet and Kato mula dibangunkan pada tahun 2020, apabila Universal memperolehi hak untuk menghasilkan filem tersebut berdasarkan watak dari Amasia Entertainment. Perincian terhadap filem tersebut masih terhad, namun dilaporkan yang yang skrip filem itu telahpun dihasilkan, dan Universal dikatakan amat berminat untuk menghasilkan filem tersebut dalam masa terdekat. 

Untuk rekod, watak Green Hornet dicipta oleh George W. Trendle dan Fran Striker pada 1936, dan pada awalnya hanya muncul sebagai siri radio. Sekitar tahun 1940-an, ianya dijadikan siri filem. Manakala pada tahun 1966 pula, ianya dijadikan sebuah siri TV, menampilkan Bruce Lee (sebagai Kato). Filem terakhirnya adalah The Green Hornet, yang ditayangkan pada 2011 dan menampilkan Seth Rogen sebagai Green Hornet, dan Jay Chou sebagai Kato.

Green Hornet mengisahkan tentang Britt Reid, pemilik syarikat penerbitan The Daily Sentinel. Dengan pengetahuan yang dimilikinya, dan dibantu oleh pembantunya iaitu Kato, Reid bertukar menjadi Green Hornet untuk membanteras jenayah, dibantu oleh senjata canggih dan kenderaan yang mempunyai gadget hebat dikenali dengan gelaran The Black Beauty.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post