Filem Elvis mengisahkan tentang legenda muzik rock n roll, iaitu Elvis Presley dan diceritakan dari kaca mata pengurusnya, iaitu Kolonel Tom Parker (yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Tom Hanks). Filem ini menelusuri sejarah hidup dari awal, perjalanan karier yang penuh kejayaan, sehinggalah penghujung hayat Elvis Presley, yang mana sehingga kini muziknya masih 'hidup' dan digemari segenap lapisan masyarakat.
Sejujurnya, filem Elvis ini bukanlah antara filem yang kami tunggu-tunggu pada tahun ini. Namun kami sememangnya menggemari filem-filem bercorak biografi, apatah lagi jika melibatkan tokoh sepenting Elvis Presley. Filem Elvis diarahkan oleh Baz Luhrmann, yang sememangnya mempunyai aura tersendiri dalam menetapkan hala tuju filem Elvis.
Selaku bukan peminat tegar Elvis Presley, kami tidak mengetahui sangat tentang lagu-lagu yang dinyanyikan Elvis. Namun kami boleh katakan yang lagu-lagu ditampilkan dalam filem Elvis ini ternyata menghiburkan dan malar segar. Rupa-rupanya banyak lagu Elvis Presley yang hit di serata dunia.
Elvis Presley muncul di kala landskap politik Amerika masih rapuh dan dihantui isu perkauman. Kemunculan Elvis dilihat cuba memecahkan 'tembok' pengasingan kaum antara kulit putih dan kulit hitam, sehingga menimbulkan bantahan di kalangan ahli politik Amerika pada masa itu. Membesar dalam persekitaran komuniti kulit hitam, Elvis Presley menampilkan gabungan muzik yang agak pelik pada mata masyarakat Amerika pada ketika itu, dan di tangan Elvis, ianya menjadi sesuatu yang merentas budaya dan politik. Konsep muzik yang biasanya dinyanyikan warga kulit hitam, tapi dinyanyikan pula oleh Elvis Presley yang berkulit putih, ternyata menimbulkan fenomena luar biasa. Apatah lagi, Elvis bijak menampilkan tarian yang memukau dalam setiap persembahannya, ditambah pula dengan penampilan pentasnya yang memukau dan lain dari kebiasaan.
Tidak ketinggalan, Elvis juga terpalit dengan pelbagai kontroversi sepanjang karier gemilangnya. Antaranya adalah gaya tariannya yang dikatakan agak mengghairahkan dan menimbulkan keresahan di kalangan anak gadis dan wanita, sehinggakan terdapat percubaan untuk menghalangnya dari menari sepanjang persembahan. Juga sikapnya yang memberontak terhadap pengurusnya, sehingga ada ketikanya melanggar arahan yang diberikan semata-mata untuk memberikan yang terbaik untuk peminat. Elvis juga terpaksa meninggalkan seketika kegemilangannya untuk berkhidmat dalam tentera dan dihantar ke seberang laut. Penonton akan dapat menyelami konflik, ketegangan dan aspek kemanusiaan Elvis dalam kariernya yang diolah dengan begitu baik. Sekalung pujian kepada Austin Butler, iaitu pelakon yang membawakan watak Elvis Presley dalam filem Elvis ini kerana berjaya menampilkan watak tersebut dengan amat baik sekali. Tambahan pula, beliau menyanyi sendiri (dan bukannya miming) lagu-lagu dalam filem ini. Hebat bukan?
Secara keseluruhannya, filem Elvis merupakan sebuah filem biografi yang menghiburkan. Cuma mungkin pada kami, tempoh masa filem ini yang berdurasi 2 jam 40 minit menjadi terlalu meleret, walaupun lagu-lagu yang ditampilkan sememangnya sangat menarik.
RATING SEMBANGFILEM: 4/5 BINTANG
Post a Comment