Semalam, kami berkesempatan menonton filem tempatan yang paling mendapat sambutan sekarang ini, iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) bertempat di TGV Cheras Selatan.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mengisahkan tentang sejarah perjuangan pejuang Melayu iaitu Mat Kilau bersama ayahnya, Tok Gajah dan sahabat-sahabat mereka yang bangkit menentang penjajahan British di tanah Melayu, terutamanya di negeri Pahang. Penjajah British yang menduduki tanah-tanah di Pahang telah mengaut hasil bumi milik orang-orang Melayu, dan mengenakan cukai yang tidak masuk akal. Tambah memeritkan apabila sesiapa sahaja yang menentang akan dianggap sebagai pemberontak, dan akan ditangkap, diseksa serta dibunuh sekiranya tidak mahu menurut arahan pihak British. Disebabkan campur tangan ini dan sikap British yang semakin biadab, Mat Kilau dan rakan-rakan bangkit menentang penjajah British. Apakah kesudahannya nanti? Jangan lupa saksikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang masih ditayangkan di pawagam berhampiran anda.
Dibarisi oleh barisan pelakon hebat dan boleh dianggap 'otai' sesungguhnya satu percaturan yang amat baik dari pengarah. Pelakon veteran, digabungkan dengan pelakon baharu yang kelihatannya mampu menarik peminat ke pawagam, membuahkan hasil yang amat berbaloi. Antara yang menonjol sudah tentunya Adi Putra sebagai Mat Kilau, Beto Kusyairy (yang ternyata cemerlang memegang watak Wahid), Fattah Amin (watak Awang yang pada awalnya menjengkelkan dan dianggap sebagai pengkhianat), Johan As'ari, Dato Rahim Razali, Dato Jalaluddin Hassan dan Wan Hanafi Su, selain turut menampilkan pelakon Indonesia yang menempa nama di Hollywood, iaitu Yayan Ruhian. Formula ini ternyata berhasil apabila ketika artikel ini ditulis, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah mencatatkan kutipan lebih RM30 juta!
Untuk pergerakan aksi pertarungan dan koreografi silat, ianya berjaya divisualkan dengan cukup baik sekali. Kami percaya, ramai anak muda yang pastinya terpikat dengan pergerakan silat dalam filem ini, dan tidak mustahil akan ada yang tertarik untuk mempelajari seni silat selepas menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini.
Kami banyak mendengar dari penonton filem ini tentang gerak kamera, yang mana ramai mengatakan ianya memeningkan dan terlalu banyak pergerakan kamera. Sejujurnya, kami tidak nampak sangat pergerakan kamera yang memeningkan sepanjang menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini. Ya, mungkin pergerakan kameranya agak sedikit 'gila', namun itulah trademark pengarahnya. Kalau dibandingkan, gerak kamera pengarah Michael Bay lagi memeningkan.Tak percaya? Nanti cubalah tonton semula filem-filem arahan Michael Bay.
Sartu sahaja perkara yang agak mengganggu kami, iaitu dari segi 'kata-kata pesanan' yang diungkapkan. Tidaklah terlalu isu besar, sebenarnya elok juga kata-kata nasihat, pesanan dan sindiran yang dituturkan dalam filem ini disebutkan berulang-ulang kali dalam pertuturan dialog pelakon-pelakonnya. Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ternyata berani memberikan teguran 'pedas' kepada orang Melayu, supaya tidak tamak, memenntingkan diri sendiri, sentiasa berpegang kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Selain itu, ia juga menyindir orang Melayu yang menjadi tali barut penjajah, sehingga sanggup memijak bangsa sendiri untuk menjaga kepentingan mereka sendiri. Ya, ianya amat bagus, dan kena 'setepek' atas muka para penonton, termasuklah kami. Namun dialog pertuturan yang seperti ayat 'terus dari buku' dan berulang-ulang, dan sedikit sebanyak menjadikannya tidak natural.
Para penonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sepatutnya sudah boleh faham yang filem ini bukanlah filem 100% kisah hidup Mat Kilau, namun hanyalah diinspirasikan dari kisah perjuangan Mat Kilau dan rakan-rakannya sahaja. Oleh itu, sepatutnya pihak-pihak di luar sana juga sudah boleh berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengecam filem ini. Secara tak langsung, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini berjaya mengajak penonton temnpatan beramai-ramai ke pawagam, membawa ahli keluarga masing-masing untuk menghayati sendiri perjuangan anak bangsa membebaskan tanah air dari penjajahan British. Kami percaya, pasti penonton tempatan akan menyokong sekiranya ada lagi filem seperti ini dihasilkan. Mungkin Studio Kembara sudah ada perancangan lain untuk menampilkan pejuang kemerdekaan lain pula untuk filem akan datang mereka? Sama-sama kita nantikan.
RATING SEMBANGFILEM: 4.8/5 BINTANG
Post a Comment