Siri Disney+ Ms. Marvel melabuhkan tirai Musim 1 dengan tersiarnya episod ke-6 pada Rabu lalu, menyaksikan kemunculan Kamala Khan dengan sut rasmi Ms. Marvel, seterusnya membawakan watak Ms. Marvel terus ke MCU. Dan di sini, kami rangkumkan review Ms. Marvel Musim 1.

Siri Ms. Marvel merupakan ' buah tangan' oleh Bisha K. Ali dan diarahkan oleh Adil El Arbi dan Bilall Fallah, memperkenalkan watak Kamala Khan secara rasminya kepada peminat filem MCU. Kamala merupakan seorang remaja berumur 16 tahun, beragama Islam, berketurunan Pakistan, dan mempunyai hubungan yang agak rumit dengan keluarganya, terutamanya ibu bapanya yang agak konservatif dan tegas. Hidupnya berubah apabila ditemukan dengan sebuah gelang emas (bangle) kepunyaan neneknya, yang secara tak sengaja telah mengaktifkan kuasa istimewa dalam diri Kamala, yang membolehkan Kamala menggunakan kuasa tersebut untuk kebaikan. Apatah lagi, Kamala pula sememangnya merupakan peminat tegar pasukan Avengers, dan memandang tinggi watak superhero wanita Carol Danvers atau Captain Marvel yang menjadi idolanya. Walau bagaimanapun, kuasa yang dimiliknya itu turut didambakan oleh beberapa kumpulan dan individu misteri yang tak dikenalinya.

Apa yang menarik mengenai siri Ms. Marvel ini adalah 'cerita' yang ditampilkan. Menariknya, setiap siri Disney+ yang ditampilkan sebelum ini tampil dengan gaya penceritaan yang unik dan berbeza-beza. Untuk Ms. Marvel, Disney menggunakan pendekatan warna-warna ceria dan shot yang berwarna-warni, sesuai dengan vibe dunia remaja sesuai dengan latar watak utamanya yanfg merupakan seorang remaja. Menariknya juga, Disney turut memperkenalkan latar kehidupan masyarakat berketurunan Pakistan dan beragama Islam yang tinggal di Jersey City (latar tempat tinggal Kamala) dan kehidupan seharian masyarakat tersebut. Ini secara tak langsung memperkenalkan budaya dan input terhadap masyarakat tersebut kepada penonton.

Set kuasa Ms. Marvel juga agak berlainan dari komik, yang berkemungkinan diubah untuk mengelakkan persamaan ketara dengan satu lagi watak MCU, iaitu Reed Richards atau Mr. Fantastic, yang sebelum ini tampil dalam filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness. Untuk rekod, kedua-dua superhero ini mempunyai keupayaan untuk meregangkan badan dalam komik, cuma yang membezakan Ms. Marvel adalah dia boleh menjadikan anggota badannya yang tertentu lebih besar.

Nampaknya, MCU telah semakin berkembang dengan tayangan siri Ms. Marvel ini. Manakan tidak, beberapa kumpulan dan kelompok yang tidak pernah kami dengar sebelum ini, tiba-tiba disebut dalam siri ini. Sebagai contoh, pendedahan awal yang mengatakan Kamala mempunyai keturunan Djinn. Djinn wujud dalam MCU? Menarik! Juga disebutkan adalah golongan Clandestines, dan memandangkan kami tidak membaca komik Ms. Marvel, kami tak dapat menerangkan lebih jelas tentang kelompok tersebut. Namun yang lebih mengejutkan (dan mungkin juga lebih logik) adalah apabila di penghujung episod 6, bilamana Kamala disebut sebagai sebenarnya mempunyai mutasi terhadap gen dalam dirinya. Mutasi dalam gen sudah tentunya berkait dengan mutant, dan ini adalah kali kedua mutant ditampilkan dalam MCU, selepas kemunculan Profesor X dalam filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness

BERKAITAN: Review Filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness (2022) - 'Fan Service' Terbaik!

Di penghujung episod 6 juga, tiba-tiba Kamala telah bertukar tempat dengan Captain Marvel, dan lakon Brie Larson muncul di skrin dalam keadaan terpinga-pinga (dengan mengenakan sut terbaharu Captain Marvel). Ini sudah tentunya berkait langsung dengan filem Captain Marvel 2, yang diberi tajuk The Marvels, yang akan menemukan Ms. Marvel dengan Captain Marvel lakonan Brie Larson. Untuk rekod, filem The Marvels arahan Nia DaCosta dijadualkan untuk tayangan pada 28 Julai 2023.

Bagi kami, siri Ms. Marvel ini adalah biasa sahaja dan tidaklah terlalu wow berbanding siri Disney+ yang lain. Dan kami juga tak merasakan yang Marvel yang menghasilkan musim 2 untuk siri ini. Walau bagaimanapun, kami boleh berikan pujian untuk pendekatan Marvel terhadap siri ini, yang ternyata 'segar' dan lain dari yang lain.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post