16 Ogos yang lalu, kami berkesempatan menonton filem Beast (2022) bertempat di GSC The Starling Mall. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut.
Filem Beast mengisahkan Dr. Nate Daniels (Idris Elba), seorang doktor dan dua orang anak perempuannya yang kembali ke Afrika Selatan dalam satu percutian. Di situ, dia bertemu semula kenalan lamanya, Martin (Sharlto Copley) yang juga merupakan seorang ahli biologi hidupan liar. Segala-galanya berubah menjadi satu pengalaman yang menakutkan apabila pada suatu hari, ketika Martin membawa mereka meninjau kawasan perlindungan haiwan liar yang dikendalikannya, kenderaan yang mereka naiki mengalami kerosakan. Ketika itu, mereka bertembung dengan seekor singa jantan yang cedera dan sedang mengganas selepas diserang sekumpulan pemburu haram, menyebabkan kawanannya terbunuh dan hanya singa tersebut sahaja yang terselamat. Dapatkah mereka semua menyelamatkan diri dari dibunuh oleh singa tersebut? Jangan lupa saksikan filem Beast yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Apa yang kami suka tentang filem Beast ini adalah elemen kejutan dan mendebarkan yang ternyata agak lain berbanding filem-filem melibatkan haiwan sebelum ini, seperti Jaws. Jika difikirkan logik, apalah sangat adegan mengejutkan yang boleh ditampilkan oleh pengarah filem yang mana watak antagonisnya adalah seekor singa. Pelik bukan? Ya kami juga berfikir perkara yang sama semasa mula-mula melihat poster filem Beast. Tetapi, ternyata sangkaan kami meleset apabila filem ini berjaya menampilkan elemen dan aksi mendebarkan dengan baik. Malah, kejutan yang ditampilkan, ditambah pula dengan elemen jumpscare melibatkan seekor singa yang menyerang hendap mangsa di waktu malam, ternyata berjaya menimbulkan suasana seram dan kejutan yang tak dijangka. Kami juga terkejut dibuatnya apabila secara tiba-tiba, imej seekor singa besar yang sedang menyorok tiba-tiba menerkam skrin.
Pemilihan pelakon dalam filem Beast juga tidak dipandang ringan, dan walaupun menampilkan pelakon yang tidaklah ramai, namun berjaya memberikan impak lakonan yang cemerlang. Idris Elba ternyata merupakan yang paling menonjol, dan berjaya menampilkan lakonan sebagai seorang doktor yang terperangkap dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan 2 anak perempuannya berada dalam keadaan selamat. Mainan emosi antara si bapa dan anak-anak perempuan, Mare dan Norah (lakonan cemerlang oleh Iyana Halley dan Leah Sava Jeffries) yang diperlihatkan pada awalnya mempunyai hubungan yang renggang, juga berjaya ditampilkan dengan baik. Konflik kekeluargaan yang ditampilkan juga amatlah biasa dan relatable dengan kebanyakan orang di luar sana.
Setelah terbiasa dengan watak haiwan pendendam tanpa motif jelas, ternyata filem Beast berjaya mewujudkan konflik antara haiwan dan manusia, yang menyebabkan haiwan yang kebiasaanya tenang dan tidak mengganggu manusia, akhirnya bertukar menjadi ganas dan pendendam. Pengarah sengaja memperlihatkan dua sisi berbeza ini di awal filem, di mana watak Matrin yang ditampilkan bersifat penyayang dengan singa-singa yang dijaganya sehinggakan singa tersebut bermanja dengannya. Namun, berbeza dengan singa yang merupakan antagonis filem ini, yang berdendam akibat ditemukan dengan manusia yang rakus dan membunuh kawanannya untuk mendapatkan habuan lumayan.
Kami percaya watak singa yang ditampilkan itu adalah CGI, namun ternyata sukar membezakan watak singa sebenar ataupun janaan komputer kerana kelihatan seolah-olah singa sebenar. Namun ada juga adegan dan kecederaan akibat serangan singa yang ditampilkan dalam filem Beast ini, yang mungkin boleh menyebabkan ada penonton yang berasa tidak selesa. Namun ianya tidaklah keterlaluan, dan masih di tahap terkawal.
Walaupun bukanlah sebuah filem kekeluargaan mahupun filem ganas, namun filem Beast menampilkan elemen sebenar konflik antara manusia dan haiwan yang apabila berada dalam situasi terdesak, akan sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal hidup, survival of the fittest dan siapakah yang mengawal situasi, samada emosi mahupun kebijaksanaan.
PENILAIAN: 4/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment