Kami baru berkesempatan menonton filem Ghostbusters: Afterlife (2021) di saluran penstriman Netflix, dan ini adalah review filem Ghostbusters: Afterlife dari kami.

Filem Ghostbusters: Afterlife semestinya menjentik nostalgia, terutamanya bagi mereka yang membesar di tahun 80-an seperti kami. Terdahulu, dua filem Ghostbusters telahpun dihasilkan, dan ini merupakan filem kesinambungan daripada filem-filem tersebut (dengan mengabaikan pasukan all-female dari filem Ghostbusters yang ditayangkan pada 2016). 

BERKAITAN: Saksikan Trailer Pertama Filem Ghostbusters: Afterlife - Ecto-1 Kembali

Filem Ghostbusters: Afterlife mengisahkan tentang seorang ibu tunggal, Callie dan dua orang anaknya, iaitu Phoebe dan Trevor yang terpaksa berpindah balik ke rumah peninggalan mendiang bapanya di pekan terpencil bernama Summerville. Apa yang tidak diketahui mereka, rumah tersebut sebenarnya menjadi tempat untuk memerangkap hantu, dan perkara ini disedari oleh Phoebe yang membongkar rahsia bahawa mendiang datuknya adalah sebenarnya Egon Spengler, salah seorang anggota asal pasukan Ghostbusters. Summerville kerap dilanda fenomena gempa bumi yang tidak dapat dijelaskan puncanya, yang membuatkan Phoebe (dibantu oleh sahabat barunya bernama Podcast) untuk menyiasat punca kejadian tersebut. Dalam masa yang sama, Trevor menemui kereta ikonik pasukan tersebut, iaitu Ecto-1 dalam bangsal, dan dengan kenderaan tersebut, mereka merungkai misteri aneh melibatkan mendiang datuk mereka dan kaitannya dengan penampakan hantu-hantu di pekan terpencil itu. Dapatkah mereka merungkai misteri tersebut, dan memerangkap hantu yang mengganas di Summerville? Jangan lupa saksikan filem Ghostbusters: Afterlife yang kini boleh ditonton di saluran penstriman Netflix. 

Sejujurnya, kami tidak pernah menonton dua filem terdahulu Ghostbusters, namun ini tidaklah menjadi masalah buat kami untuk memahami jalan cerita filem Ghostbusters: Afterlife ini. Jalan ceritanya agak mudah difahami, dan tidak berbelit-belit. Filem Ghostbusters: Afterlife ini menggabungjalinkan barisan pelakon muda yang menyerlah, dan dikaitkan dengan nostalgia dua filem terdahulu apabila menampilkan barisan pelakon asal filem Ghostbusters terdahulu. Jalan ceritanya juga penuh dengan elemen-elemen nostalgia, yang nyatanya sangat dikenali. 

Walaupun menampilkan watak dewasa seperti Paul Rudd (melakonkan watak guru bernama Gary Grooberson) dan Carrie Coon (melakonkan watak Callie Spengler), kekuatan filem ini adalah bertumpu kepada watak lakonan dua orang kanak-kanak iaitu Mckenna Grace (melakonkan watak Phoebe Spengler) dan Logan Kim (melakonkan watak Podcast). Dinamik dan interaksi kedua-dua watak ini ternyata menghidupkan suasana. Selain itu, imbangan watak lakonan pelakon muda dan dewasa juga tampak seimbang, dan tidak overshadow watak-watak lain. 

BERKAITAN: Tarikh Tayangan Filem Ghostbusters: Afterlife 2 Diumumkan Oleh Sony Pictures

Namun, watak penjahat dalam filem Ghostbusters: Afterlife ini kami rasakan agak lame dan tidak punyai motif yang meyakinkan. Adegan di penghujung filem ini juga agak forgettable dan tiada umphhh! yang boleh dibanggakan. 

Tarikan kemunculan watak pasukan asal Ghostbusters dari filem terdahulu ternyata mengundang nostalgia, apatah lagi kemunculan watak cameo Egon Spengler (lakonan Harold Ramis). Ianya seolah pengakhiran yang memuaskan hati untuk watak Egon, di mana pelakon asalnya telahpun meninggal dunia pada 2014 dan tidak dapat melakonkan watak ikonik tersebut. Disebabkan itulah, watak tersebut tiada dialog dalam filem ini.

PENILAIAN: 3.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post