Malam tadi, kami berkesempatan menghadiri Gala Premiere filem Satria Dewa Gatotkaca, disusuli dengan sidang media bersama pengarah, produser dan para pelakon filem tersebut. Terima kasih kepada Horizon Film Entertainment atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Satria Dewa Gatotkaca daripada kami.

Filem Satria Dewa Gatotkaca mengisahkan tentang Yuda lakonan Rizky Nazar), seorang pemuda yang tinggal bersama ibunya, Arimbi (lakonan Sigi Wimala) yang dianggap seorang gila oleh masyarakat sekeliling. Apa yang tidak diketahui mereka adalah Yuda sebenarnya mempunyai leluhur dari Pandawa, dan mempunyai barang ajaib peninggalan nenek moyangnya yang sangat berkuasa, iaitu medal Brajamusti dan dihajati oleh penjahat bergelar Aswatama. Dalam masa yang sama, dunia diancam dengan pelbagai bencana dan penyakit berjangkit yang mendatangkan kemusnahan dan kematian yang ramai. Kejadian pembunuhan misteri melibatkan kematian individu berpengaruh dan bijak pandai di bandar tempat tinggalnya menyebabkan Yuda bertembung dengan entiti misteri yang disangkanya Kurawa, dan seterusnya bertemu teman-teman baharu seperti Agni (lakonan Yasmin Napper), Dananjaya (lakonan Omar Daniel), Gege (lakonan Ali Fikry), dan Ibu Mripat (lakonan Yati Surachman), yang sama-sama membantunya mennyelesaikan misteri perseteruan purba antara Pandawa dan Kurawa, dan dalam masa yang sama belajar menggunakan kuasa luarbiasa yang dimilikinya dan bertukar menjadi Gatotkaca, seterusnya melindungi orang-orang yang disayanginya.

Filem Satria Dewa Gatotkaca merupakan salah satu daripada 8 filem dalam Satria Dewa Semesta, dan merupakan filem pertama dalam francais filem itu. Apa yang boleh kami katakan selepas menonton filem ini, adalah rasa kagum dengan industri perfileman Indonesia yang berjaya tampil dengan universe superhero sendiri seakan MCU. Sudah tentunya kami tak sabar menantikan filem selanjutnya dalam semesta filem Satria Dewa ini.

Dari segi jalan cerita, kami agak sukar memahami jalan ceritanya dan mengambil sedikit masa untuk fokus dan memahaminya. Banyak penceritaan latar (back story) yang ditampilkan berkenaan watak-watak utama, terutamanya latar kisah sejarah perseteruan Pandawa dan Kurawa yang kedengaran agak aneh bagi mereka yang baru pertama kali menonton, dan kemungkinan akan terlepas penerangan penting jika tidak fokus. Walaupun begitu, pacing filem Satria Dewa Gatotkaca adalah laju, dan kami tidak sempat merasakan kebosanan semasa menontonnya.

Dari segi kesan khas dan CGI dalam filem Satria Dewa Gatotkaca, semestinya ada ruang untuk ditambah baik. Cuma mungkin rungutan kami adalah semasa latar di alam Patala, dengan latar warna hitam dan merah yang kami rasakan agak gelap, menyebabkan adegan pertarungan klimaks tidak dapat dilihat dengan jelas. Mungkin ini boleh ditambah baik dalam filem-filem yang akan datang.

Terdapat beberapa babak pertarungan dalam filem Satria Dewa Gatotkaca yang kami rasakan memadai untuk memuaskan hati semua penonton. Gerak badan dan aksi pertempuran yang ditampil tampak asli dan tidak dibuat-buat. Ternyata babak pertarungan telah dikoreografi dengan agak baik, bersesuaian dan tidak berlebih-lebihan.

Selain babak serius dan pertarungan, Satria Dewa Gatotkaca turut menyelitkan beberapa adegan lucu dan mencuit hati. Watak Quinn dan Gege antara yang berjaya menampilkan momen tersebut. Tidak ketinggalan juga beberapa adegan tak terduga yang menjadi wow factor dan menyebabkan satu pawagam bersorak. Adegan apakah itu? Jangan lupa saksikan filem Satria Dewa Gatotkaca yang akan mula ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 18 Ogos 2022.

Usai filem Satria Dewa Gatotkaca, ada sedutan pendek yang memberikan bayangan siapakah watak antagonis yang bakal tampil untuk filem berikutnya nanti, selain bayangan nama watak yang berkemungkinan akan menjadi tajuk filem ketiga universe filem Satria Dewa nanti.

Secara keseluruhannya, filem Satria Dewa Gatotkaca memberikan pengalaman filem yang agak baharu bagi peminat filem Nusantara. Watak Gatotkaca itu sendiri yang diangkat terus dari naskhah epik Mahabharata mungkin akan membuka ruang untuk peminat filem mengetahui lebih lanjut tentang watak-watak lain yang bakal  tampil untuk filem seterusnya. Syabas kepada Satria Dewa Studio kerana berani menampilkan filem superhero yang walaupun masih jauh dengan standard filem MCU, namun satu percubaan berani yang boleh dibanggakan.

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post