Peneraju penstriman Asia, iQIYI menjalin kerjasama dengan Grab Malaysia bagi melancarkan drama bersiri original tempatan, Rampas Cintaku, yang juga penampilan sulung iQIYI dalam menghasilkan original tempatan di Malaysia, sejajar dengan komitmennya untuk terus melabur dalam pasaran industri hiburan tempatan di negara ini.
Rampas Cintaku akan ditayangkan di Malaysia dan di 191 negara bermula 23 September ini secara eksklusif di iQIYI.
Sejak beberapa tahun lalu, iQIYI telah mengambil kira permintaan dan minat yang semakin berkembang di kalangan rakyat Malaysia terhadap kandungan tempatan dan pan-Asia. Beberapa drama Melayu yang telah ditayangkan hasil perkongsiannya dengan Media Prima telah mendapat sambutan menggalakkan dari penonton. Drama seperti 7 Hari Mencintaiku, Budak Tebing 2, Cukup Derita Itu, dan Kerana Aku Isteri Bidaan, menjadi antara kandungan popular dalam carta utama kandungan iQIYI. Ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia memiliki selera dan minat yang mendalam terhadap kandungan tempatan.
Mengulas mengenai permintaan yang semakin meningkat, Dinesh Ratnam, Pengurus Negara iQIYI bagi Malaysia, Singapura dan Brunei berkata,
Kami telah melihat penghayatan ke atas drama tempatan yang semakin meningkat selaras dengan peningkatan ketara dari aspek kualiti yang ditawarkan syarikat produksi tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terdapat begitu banyak potensi yang belum diterokai dalam ruang lingkup hiburan dan bakat tempatan, dan kerjasama dengan syarikat produksi tempatan dalam menghasilkan original kami adalah salah satu cara kami memenuhi minat yang semakin meningkat terhadap kandungan tempatan. Dan yang paling penting, ia juga merupakan satu langkah kami untuk menyokong pembangunan berikutnya membabitkan visi serta kemunculan bakat baharu tempatan dalam industri filem di Malaysia.
Dihasilkan melalui kerjasama dengan syarikat produksi tempatan terkenal, MIG Production, dan disokong oleh Motion Content Group iaitu sebuah syarikat pelaburan kandungan serta pengurusan hak global, karya melodrama percintaan unik ini menjangkaui realiti kisah cinta, perkahwinan serta dendam yang jarang diketengahkan secara umum. Rampas Cintaku juga menampilkan barisan bintang ternama tempatan iaitu Fasha Sandha dan penyanyi Afieq Shazwan.
Selain menyediakan platform penting bagi membolehkan pembikin filem Malaysia mengekspresi kreativiti menerusi penerbitan berkualiti tinggi dan jalan cerita yang menarik, iQIYI juga mahu menjadikan siri original-nya lebih inovatif dengan mencorak ruang khusus dalam mewujudkan kesedaran terhadap jenamanya di era baharu segmen pengiklanan yang dikenali sebagai advertainment.
Bagi Grab Malaysia, dalam usaha memperkukuhkan dan menambah kesedaran jenamanya menjangkaui media massa tradisional, kerjasama ini akan membawa inisiatif pemasaran eksklusif pada masa hadapan. Ia akan digunakan secara khusus untuk mempelbagaikan tawaran dan faedah yang disediakan kepada pengguna menerusi GrabUnlimited, program keahlian yang membolehkan pengguna meraih tawaran yang lebih besar serta faedah tambahan. Salah satu contoh ialah menawarkan ahlinya, pas beramah mesra eksklusif pada tayangan perdana Rampas Cintaku. Kerjasama ini turut membantu mempertingkatkan lagi pengalaman pengguna secara keseluruhan, selain mewakili usaha pertama GrabUnlimited dalam memacu pengalaman pengguna dengan manfaat melebihi apa yang ditawarkan dalam aplikasi Grab. Menurut Dinesh lagi:
Kami sangat teruja kerana Motion Content Group dan Grab Malaysia adalah rakan kongsi yang memiliki visi sama dalam menyokong kandungan tempatan dan yang paling penting untuk original kami. Sebagai jenama tempatan yang memecah tradisi dalam industri, mereka menjadi sumber inspirasi kepada kami untuk lebih berani meneroka sebarang bentuk kerjasama baharu menerusi platform OTT kami.
Rampas Cintaku memaparkan jalan cerita menarik yang mencerminkan pelbagai aspek yang dihadapi dalam kehidupan sebenar. Ia menyelitkan sisi gelap sifat manusia seperti cinta terlarang, tamak haloba, pengkhianatan dan godaan. Dihasilkan khas untuk penonton dewasa, drama 15 episod ini mengisahkan Rizal (lakonan Afieq Shazwan), seorang anak muda yang terdesak untuk keluar daripada bebanan hutang, kemiskinan dan gangguan pengutip hutang. Rizal mempertaruhkan segala-galanya dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di kelab malam demi meraih pendapatan yang lebih baik. Dia kemudiannya bertemu dengan ahli perniagaan wanita yang kaya dan tersohor, Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha) yang menjanjikan kehidupan mewah, sekiranya Rizal bersetuju menjadi kekasih gelapnya, walaupun wanita itu telah berkahwin dengan Dato Jefri (lakonan Zarul Husin). Terdesak untuk melunaskan hutang keluarganya, Rizal menerima tawaran Datin Safieya, namun akhirnya jatuh cinta terhadap Datin Safieya.
Selain Fasha Sandha dan Afieq Shazwan, melodrama percintaan yang penuh dengan pelbagai jalan cerita ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Zarul Husin, Aidil Aziz, Erynn Abdullah, Ady Mohammad, Zarynn Min, Puteri Balqis dan ramai lagi.
Rampas Cintaku akan ditayangkan bermula 23 September secara eksklusif di aplikasi iQIYI dan iQIYI International (www.iq.com)
Post a Comment