Kami baru berkesempatan menonton filem Dragonball Super: Super Hero (2022) di TGV AEON Cheras Selatan baru-baru ini, dan ini adalah review filem Dragonball Super: Super Hero  dari kami.

Filem Dragonball Super: Super Hero mengisahkan tentang percubaan Tentera Red Ribbon yang kembali untuk menguasai dunia. Mereka telah mencipta dua android (atau Artificial Human) untuk membalas dendam terhadap Son Goku dan rakan-rakannya yang telah mengalahkan mereka suatu masa dulu. Rancangan mereka berjaya dihidu oleh Piccolo, yang menyusup masuk ke markas Red Ribbon. Namun begitu, disebabkan Son Goku dan Vegeta berada di planet lain, maka kini terpulang kepada Piccolo untuk mencari jalan mengelakkan pertempuran tersebut dari berlaku. Berjayakah Piccolo menghentikan tentera Red Ribbon dari menguasai dunia? Jangan lupa saksikan filem Dragonball Super: Super Hero di pawagam.

Sejujurnya, kami tidaklah begitu arif dengan dunia anime dan manga Dragonball. Selepas line-up manga dan anime Dragonball di awal kemunculan dahulu, kami tidak mengikuti secara rapat siri baharu Dragonball, jadi kami agak asing dengan watak-watak baharu yang ditampilkan dalam filem Dragonball Super: Super Hero ini. Walau bagaimanapun, ianya tidaklah mengganggu jalan cerita filem ini, yang mampu sahaja berdiri sendiri sekiranya korang tak mengikuti rapat anime dan manga Dragonball.

Gaya persembahan filem Dragon Ball Super: Super Hero ini kami rasakan agak menarik, dan sangat sesuai ditonton di layar perak. Manakan tidak, gabungan animasi 2D dan 3D seakan hidup dan begitu menonjol di skrin pawagam. Memilih untuk menampilkan watak Piccolo dan Son Gohan sebagai watak utama (dan 'menolak' Son Goku dan Vegeta sebagai hanya watak cameo) ternyata percaturan berani dari pembikin filem ini. Walaupun watak Piccolo yang diangkat sebagai watak utama, ianya masih mampu menarik minat penonton untuk kekal menonton filem ini. Walau bagaimanapun, ada kalanya dialog dan perbualan yang ditampilkan agak meleret dan tidak membantu jalan cerita.  

Seperti mana manga dan anime, agaklah kurang sekiranya filem Dragon Ball Super: Super Hero ini tidak menampilkan elemen humor. Ada adegan yang memaparkan humor ringan melibatkan interaksi antara watak-watak dalam filem ini. Namun, jangan tertipu kerana adegan aksi dan pertarungan masih cukup lengkap dan mantap ditampilkan. Ini filem Dragonball kot, mestilah ada adegan pertempuran yang out of this world. Elemen aksi digabung jalin dengan amat baik sekali, dan dapat dilihat watak-watak utama dapat meningkatkan kuasa mereka ke tahap maksimum untuk mengalahkan watak penjahat utama iaitu Cell yang telah dipertingkatkan kuasanya.

Bagi kami (yang bukanlah peminat tegar Dragonball), filem Dragon Ball Super: Super Hero ini bolehlah kami kelaskan sebagai hiburan ringan dengan elemen humor, aksi, pertarungan dan penceritaan yang seimbang. Kami masih lagi enjoy menonton filem ini, cuma tidaklah mencapai tahap wow di luar kotak pemikiran sehingga memancing kami untuk menontonnya untuk kali kedua. Ianya seolah menonton episod filler versi filem sahaja.

PENILAIAN  : 3/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post