Kami baru berkesempatan menonton filem Thor: Love and Thunder (2022) di saluran penstriman Disney+ Hotstar pada 8 September tempohari sempena Disney+ Hotstar Day, dan ini adalah review filem Thor: Love and Thunder dari kami.
Thor: Love and Thunder berdepan dengan pelbagai cabaran untuk ditayangkan di Malaysia. Selepas dua kali menunda tarikh tayangan di Malaysia, Disney akhirnya memutuskan untuk tidak menayangkan terus filem Thor: Love and Thunder di pawagam Malaysia tanpa dinyatakan sebabnya. Jadi sudah tentunya peminat ternanti-nanti tayangan Thor: Love and Thunder di saluran Disney+ Hotstar.
Thor: Love and Thunder mengisahkan tentang Gorr (lakonan Christian Bale) yang kecewa kerana tuhan yang disembahnya tidak mengabulkan doanya ketika anak perempuannya di ambang maut. Kebencian timbul dalam dirinya, menyebabkan satu senjata aneh bergelar Necrosword telah datang kepadanya yang mempunyai kuasa untuk 'membunuh' tuhan. Disebabkan itu, dia menggelarkan dirinya sebagai Gorr the God Butcher dan berikrar untuk menghapuskan kesemua tuhan yang ada kerana merasakan mereka tidak berguna. Dalam masa yang sama, Jane Foster pula telah disahkan menghidap kanser yang mengancam nyawanya, menyebabkannya mencari penawar terhadap penyakitnya itu. Tidak disangka-sangka, penawar yang dimaksudkan ada pada Mjolnir, yang sebelum ini telah 'ditugaskan' oleh Thor untuk menjaga keselamatan Jane sekiranya diancam bahaya. Disebabkan itu, Jane bertukar menjadi The Mighty Thor, dan telah berganding bahu bersama-sama Thor untuk menghentikan Gorr the God Butcher untuk mencapai objektifnya. Berjayakah mereka dalam usaha tersebut? Jangan lupa saksikan filem Thor: Love and Thunder yang kini boleh ditonton di saluran penstriman Disney+ Hotstar.
Namun begitu, filem ini bergelut untuk menjadi antara yang terbaik dalam barisan filem Thor. Pertamanya, watak Gorr yang tidak sehebat dan se'gah' gelaran dibawanya iaitu sebagai the God Butcher. Motif awal Gorr kelihatannya amat jelas, iaitu untuk membunuh kesemua tuhan yang ada di semesta, namun selepas itu bertukar pula menjadi episod penculikan kanak-kanak Asgard, seterusnya pencarian untuk bertemu Eternity dengan tidak ketahui apa motif sebenarnya. Tidak ditunjukkan dengan jelas bagaimanakah kehebatan Gorr menghapuskan tuhan-tuhan yang ada sehingga layak menggunakan gelaran tersebut, sehingga menenggelamkan rasa kasihan terhadap Gorr di awal filem akibat kematian anak perempuannya itu. Malangnya pelakon sehebat Christian Bale membawakan watak penjahat yang mudah dilupakan, malah lebih mudah dilupakan berbanding Malekith dalam filem Thor: The Dark World (2013). Sekurang-kurangnya, watak Malekith lebih diingati kerana bertanggungjawab menyebabkan kematian Frigga, ibu kepada Thor dalam filem tersebut. Tapi Gorr?
Keduanya, lawak-lawak yang boleh kami katakan serba tidak menjadi, dan hanyalah mengulangi resepi-yang digunakan dalam filem Thor: Ragnarok (2017) sebelum ini. Ya, filem Thor Ragnarok juga arahan Taika Waititi, yang mula-mula mengetengahkan watak Thor sebagai pak lawak, namun apabila diulang dalam filem Thor: Love and Thunder, ianya menjadi hambar dan cringe untuk ditonton. Lawak dan komedi seolah dipaksa terhadap watak-watak dalam filem ini. Kami merasakan sudah tiba masanya Thor kembali menjadi watak serius dan digeruni lawan, berbanding pak lawak yang melontarkan dialog-dialog one liner yang kedengaran pelik dan meloyakan.
Ketiganya, apabila Stormbreaker ditampilkan seolah-olah jealous dan merajuk dengan Thor, kerana merasakan Thor masih menyayangi Mjolnir. Really, Taika? Sekali lagi, Taika cuba menonjolkan elemen komedi apabila menampilkan plot sebegini dalam filem Thor: Love and Thunder. Namun lama kelamaan, ianya menjadi sangat membosankan dan tidak membantu langsung dalam pengembangan plot penceritaan filem ini.
Keempat, memang tidak dinafikan CGI dan kesan khas yang ditampilkan amatlah menarik. Apatah lagi adegan penjelajahan angkasa di atas kapal Viking yang ditarik oleh 2 ekor kambing raksasa, dan adegan di Omnipotence City yang kami rasakan penuh dengan warna warni dan elemen yang memukau. Namun seperti biasa, ianya tidaklah membantu dalam perjalananan keseluruhan filem ini. Malah, kami agak terganggu dengan rekaan dan pencahayaan bagi adegan di mana watak Thor dan Jane Foster/ The Mighty Thor mengenakan sut perisai, yang pada pengamatan kami kelihatan 'murah', terlalu polished tidak realitisik. Kami masih lagi menggemari rekaan sut Thor dalam filem Thor (2011) dan dalam filem Avengers: Infintiy War berbanding filem Thor: Love and Thunder ini.
Sejujurnya, seperti mana ribuan peminat filem MCU lainnya, kami juga kecewa apabila Disney memutuskan untuk tidak menayangkan filem Thor: Love and Thunder di Malaysia. Namun, setelah menonton filem ini, kami boleh katakan yang nasib baik filem Thor: Love and Thunder tidak ditayangkan di Malaysia dan menyelamatkan duit kami dari menontonnya di pawagam. Filem Thor: Love and Thunder ini terlalu teruk sehinggakan boleh kami katakan sebagai filem Thor paling teruk pernah dihasilkan! Sejujurnya, kami struggle menonton filem ini untuk menghabiskan tempoh tayangan. Kami enjoy pun disebabka lagu-lagu rock lama yang banyak ditampilkan dalam filem ini, tak lebih dari itu.
PENILAIAN : 2/5 BINTANG
Post a Comment