Kami baru sahaja menonton filem DCEU paling ditunggu-tunggu tahun ini, iaitu Black Adam (2022), dan ini adalah review filem Black Adam dari kami.

Projek filem DCEU yang paling lama tertangguh ini akhirnya berjaya dibawakan ke layar perak hasil usaha berterusan Dwayne Johnson yang tidak jemu-jemu melobi watak Black Adam untuk ditampilkan di pawagam. Untuk rekod, Dwayne Johnson telah diumumkan sebagai pelakon watak Black Adam sejak 2014 lagi!

BERKAITAN: Review Filem Shazam! (2019) - Nafas Baru Untuk Filem Superhero DC

Seperti mana kebanyakan watak dari panel komik DC, watak Black Adam (atau sebelum itu sebagai Teth-Adam) diperkenalkan sebagai pelindung bandar fiksyen Kahndaq. Pada 5,000 tahun dahulu, Kahndaq berada di bawah kawalan raja yang kejam bernama Anh-Kot, yang mengerahkan hamba abdi untuk mencari bahan kristal sakti digelar Eternium untuk menghasilkan Crown of Sabbac, yang akan memberikan pemakainya kuasa luar biasa. Perhambaan yang berlaku membawa kepada banyak pertumpahan darah, sehinggalah akhirnya seorang kanak-kanak lelaki telah mendapat kuasa ajaib Shazam, menukarkan dirinya menjadi Teth-Adam, pelindung bandar Kahndaq yang akhirnya membunuh Anh-Kot, dan membebaskan Kahndaq dari perhambaan. Fast forward ke masa hadapan, Kahndaq masih berhadapan perhambaan moden apabila kini berada di bawah kawalan kumpulan tentera upahan digelar Intergang. Penonton diperkenalkan dengan watak Adrianna Tomaz, seorang ahli arkeologi dan rakan-rakannya yang cuba mengesan lokasi Crown of Sabbac. Kumpulan Intergang mengganggu usaha pencarian tersebut dan mula membunuh ahli pasukan Adrianna, menyebabkan beliau terpaksa membaca mantera dan menuturkan perkataan ajaib "Shazam!" yang menghidupkan semula Teth-Adam. 


Setelah 'bangkit' semula, Teth-Adam mula mengamuk dan membunuh kesemua tentera Intergang di situ, dan menyelamatkan Adrianna. Kemunculan semula Teth-Adam telah menarik perhatian Amanda Waller, yang telah mengerahkan pasukan Justice Society of America (JSA) untuk pergi ke Kahndaq, seterusnya menangkap dan menghentikan Teth-Adam sebelum perkara lebih buruk berlaku kepada penduduk Kahndaq dan manusia lainnya. Dalam usaha tersebut, ancaman purba lain yang lebih dahsyat juga telah muncul, memaksa pasukan JSA bekerjasama dengan Teth-Adam untuk menghapuskan ancaman ganas tersebut. Di penghujung filem, Teth-Adam menyatakan dia tidak ingin lagi menggunakan nama Teth-Adam, dan kini dikenali sebagai Black Adam


Sebelum ini, ura-ura menyatakan hierarki kuasa dalam DCEU bakal berubah apabila munculnya Black Adam, dan selepas menonton filem ini, nampaknya ia bakal menjadi kenyataan. Pemilihan Dwayne Johnson sebagai Black Adam ternyata sangat tepat, dan walaupun sebelum ini Dwayne Johnson terkenal melakonkan watak-watak baik dan bermoral positif, namun lakonannya dalam Black Adam berjaya mengubah stereotaip tersebut. Kami merasakan selain Aquaman dan Shazam!, Black Adam ini adalah antara filem DCEU terbaik pernah dihasilkan. Namun begitu, masih ada beberapa isu yang mengganggu perjalanan filem ini.  

Jika ingin diperkatakan dengan jujur, sebenarnya filem Black Adam ini adalah sebuah filem superhero tipikal, dan tiada yang boleh dikatakan istimewa. Malah agak menyedihkan kerana filem ini menampilkan beberapa formula filem MCU untuk kelihatan standout. Elemen humor antara watak, light comical moment dalam babak aksi, malah siap dengan end credit scene pula, peminat filem MCU pasti akan dapat melihat persamaan tersebut. Apatah lagi watak-watak dan kuasa superhero pasukan JSA yang ditampilkan pula seakan sama dengan beberapa watak dalam filem-filem MCU sebelum ini (kami tak mahu sentuh siapa lebih awal muncul di komik Marvel mahupun DC). Namun begitu, perbandingan pasti ada dan akan tetap dibuat oleh penonton. Walaupun begitu, elemen sebeginilah yang menyelamatkan filem ini, kerana ada banyak babak yang memboleh penonton memberikan reaksi menarik dan kekal berada di tempat duduk, tak sabar menantikan babak seterusnya. 

Sebagai anti-hero, Black Adam bebas melakukan apa yang hero tipikal tidak mampu lakukan, dan inilah kekuatan watak tersebut. Moral compass Black Adam ternyata berbeza, apabila tidak teragak-agak mencederakan, malah membunuh penjenayah dan penjahat dalam filem ini. Walaupun cuba dipujuk dan diugut oleh pasukan JSA pun, Black Adam masih selamba mengugut untuk mencederakan penjahat. Tampilan interaksi Black Adam dengan pasukan JSA (terutamanya Hawkman) ternyata amat menjadi, memperlhatkan perbezaan ideologi yang amat ketara antara mereka. 

Namun begitu, kami merasakan elemen CGI yang ditampilkan seolah-olah 'tak cukup masak' dan terlalu rushing untuk disiapkan. Ada babak-babaknya yang kelihatan tidak kemas, malah mungkin boleh dikatakan hanyalah sedikit lebih baik sahaja berbanding kualiti CGI dalam siri Disney+ She-Hulk: Attorney At Law. Sayangnya, kami rasakan ada watak anggota JSA yang tidak digunakan sepenuhnya dan tidak lebih hanya sebagai tempelan sahaja. Mungkinkah akan ada filem stand-alone JSA nanti? Sama-sama kita nantikan.

Warner Bros. nampaknya masih menggunakan resepi selamat untuk filem Black Adam. Walaupun ianya hampir tepat menyamai jalan cerita komik, namun studio berkenaan kelihatan akur dengan kehendak peminat yang tidak mahu filem DCEU yang terlalu 'gelap' dan 'kelam'. Namun dengan kemunculan Black Adam, kelihatannya hirarki kuasa dalam DCEU sudah berubah (buat masa ini).

Jangan lupa tunggu untuk babak end credit scene, yang kami rasakan amat mengujakan dan memberikan sinar baharu untuk watak pesaing kepada Black Adam, dengan kuasa yang hampir sama! 

PENILAIAN  : 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

1 Comments

  1. Harusnya filem ini di haramkan kerana ada unsur illimunati

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post