Selasa lalu, kami berkesempatan menonton filem seram terbaharu, Smile (2022) bertempat di GSC The Starling Mall. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut.
Filem Smile diarahkan oleh Parker Finn dan diadaptasi dari filem pendeknya sendiri (bertajuk Laura Hasn't Slept pada 2020) mengisahkan tentang seorang doktor psikiatri bernama Rose Cutter (lakonan Sosie Bacon), yang dihantui satu suara aneh dan bayangan mengerikan selepas berdepan satu kejadian menakutkan ketika sedang menjalani sesi rawatan bersama salah seorang pesakitnya, menyebabkan pesakitnya itu membunuh diri di hadapannya sambil tersenyum. Semenjak itu, beliau berusaha menyiasat punca kejadian tersebut berlalu, dan perkaitannya dengan beberapa insiden terdahulu yang berlaku seolah-olah menjadi suatu rantaian kes yang saling berkait. Berjayakah beliau merungkai misteri tersebut, dan seterusnya menyelamatkan dirinya dari menjadi mangsa seterusnya? Jangan lupa saksikan filem Smile yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Selepas menonton filem ini, kami merasakan jalan cerita, pacing dan pendedahan-pendedahan yang ditampilkan dalam filem ini agak menarik (walaupun ada sebahagian dirasakan agak biasa) namun berjaya menampilkan elemen-elemen seram dan jumpscare yang mendebarkan. Tabik kami kepada LPF kerana tidak memotong adegan gore yang meloyakan tekak dalam filem ini, dan ini sememangnya membantu tempo dan kesinambungan babak dalam filem ini supaya tidak melompat-lompat.
Tidak banyak watak yang ditampilkan dalam filem ini, sebaliknya pengarah bijak bermain dengan emosi dan 'kekacauan' dalam minda watak utamanya. Manakan tidak, beliau yang merupakan doktor psikiatri yang selama ini mengendalikan kes-kes psikiatri dan gangguan mental, kini terpaksa meyakinkan orang sekelilingnya (terutamanya majikan dan teman lelakinya) yang beliau sendiri mengalami gangguan tersebut dan tidak berjaya menanganinya. Kelakar bukan? Tetapi itulah premis yang cuba disampaikan dalam filem. Apa akan jadi jika kepakaran yang digunakan untuk menjalani kerja seharian, akhirnya kini menjadi kelemahan utama kita? Penonton dapat menyelami dan merasai sendiri bagaimana Rose, yang pada awalnya sangat selesa dengan pekerjaan dan metod rawatannya, tetapi lama kelamaan menjadi semakin hilang kewarasan dan semakin tidak terurus akibat gangguan tersebut, hingga pada satu tahap hampir mendorongnya untuk membunuh diri. Kami yakin penonton sangat mendalami lakonan watak pelakon utama untuk watak Rose tersebut.
Walaupun tempoh tayangan selama 2 jam, Smile seolah tidak habis menceritakan pengkisahan entiti misteri yang merasuk mangsanya dan mendorong mereka ke arah kegilaan. Malah di penghujung filem, ada beberapa persoalan kami yang masih belum terjawab. Adakah mungkin akan ada sambungan filem Smile nanti?
Sejujurnya, kami masuk ke pawagam dengan ekspektasi yang biasa sahaja. Namun ternyata, kami keluar dengan hati yang teramat puas. Walaupun kami tidak menggemari filem seram, tetapi kami percaya, filem Smile ini berjaya menampilkan 'ketakutan' yang tersendiri buat penonton, walaupun tajuk filemnya yang ternyata teramat kontra. Tajuk Smile, tapi filem seram. Menimbulkan tanda tanya bukan?
PENILAIAN : 4.5/5 BINTANG
Post a Comment