Filem Slumberland yang kini sedang ditayangkan di Netflix, adalah berdasarkan komik ringkas Little Nemo in Slumberland karya Winsor McCay, yang diterbitkan lebih satu abad yang lalu. 

Slumberland mengisahkan tentang kanak-kanak perempuan bernama Nemo (lakonan Marlow Barkley) yang tinggal bersama bapanya di sebuah rumah api. Selepas kematian mengejut bapanya, Nemo dihantar untuk tinggal bersama-sama bapa saudaranya (lakonan Chris O’Dowd) yang tidak pernah dikenali. Bapa saudaranya itu seorang yang janggal, bekerja sendiri dari rumah dan menjalankan bisnes menjual tombol pintu. Disebabkan kejanggalan suasana (kerana bapa saudaranya itu hidup menyendiri) menyebabkan Nemo mencipta dunianya tersendiri dalam dunia mimpi dan mengimpikan untuk bertemu semula dengan bapanya. Di situlah dia menemui Slumberland, sebuah dunia mimpi yang misteri dan di dalamnya, Nemo bertemu dengan Flip (lakonan Jason Momoa), seorang outlaw yang mempunyai penampilan pelik (bertanduk dan bertelinga haiwan) yang mengaku mengenali bapanya dan boleh membawa Nemo bertemu semula dengan bapanya buat kali terakhir, dengan syarat Nemo mesti membantunya mencari mutiara ajaib di Sea of Nightmares. Dalam pengembaraan itu, mereka bertembung dengan pelbagai cabaran, halangan, elemen yang mengganggu emosi, demi mengecap semula kegembiraan yang dicari. Dapatkah Nemo bertemu semula dengan bapanya, dan siapakah Flip yang sebenarnya? Jangan lupa saksikan Slumberland yang kini ditayangkan di Netflix.

Filem yang bermain dengan elemen fantasi seperti Slumberland ini sudah pastinya akan menampilkan elemen CGI yang banyak. Ada beberapa adegan di mana agak ketara penggunaan green screen, namun tidaklah mengganggu jalan cerita filem ini. Filem ini masih enjoyable dan banyak adegan yang mencuit hati, dan sesuai ditonton oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa. 

Jason Momoa yang selalu tampil dalam filem aksi, kelihatan sangat santai dalam filem ini. Sebagai Flip, wataknya seorang yang nakal, seorang outlaw yang melakukan apa sahaja yang diinginkannya tanpa kisahkan kepada peraturan. Watak Flip sentiasa bertembung dengan Ejen Green, seorang ejen BOSA yang cuba menangkapnya kerana mengacau dan mengganggu mimpi orang lain dan tidak mahu meninggalkan dunia Slumberland.  

Pada asalnya kami menjangkakan Slumberland adalah filem tipikal berdasarkan mimpi, di mana watak-wataknya menggunakan mimpi sebagai satu escapism dari dunia realiti yang menyesakkan. Namun, Slumberland berbeza kerana membawakan tema loneliness, kehilangan orang tersayang, kedukaan dan bagaimana seorang kanak-kanak perempuan mencari ketenangan di sebalik keributan. Simbolik rumah api, laut bergelora membadai pantai, dan kewujudan mimpi ngeri berupa sotong kurita gergasi digunakan sebaik mungkin sebagai metafora kacau bilau yang berlaku dalam pemikiran seorang kanak-kanak yang hilang tempat bergantung secara tiba-tiba. Apatah lagi, Nemo berjaya membantu Flip mengenali semula dirinya yang sebenar, dan keluar dari dunia Slumberland buat selama-lamanya.

PENILAIAN : 3.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post