Filem The Big 4 merupakan filem original Netflix bergenre aksi komedi dari Indonesia yang ditulis dan diarahkan oleh Timo Tjahjanto. Ianya mengisahkan tentang 4 orang pembunuh upahan terdiri daripada Topan (lakonan Abimana Aryasatya), Alpha (lakonan Lutesha), Jenggo (lakonan Arie Kriting) dan Pelor (lakonan Kristo Immanuel), yang terpaksa 'bersara paksa' apabila mentor mereka, Petrus (lakonan Budi Ros) dibunuh kejam oleh bekas anak muridnya. Mereka kemudiannya membawa diri dan menjalani kehidupan masing-masing secara bersendirian di pulau Bersi.

Tiga tahun kemudian, mereka bertemu semula apabila seorang anggota polis bernama Dina (lakonan Putri Marino) yang juga merupakan anak perempuan Petrus, menjejak misteri kematian bapanya dan tiba di pulau tersebut. Kedatangan Dina ke pulau itu menarik perhatian Antonio (lakonan Martino Lio), iaitu orang yang bertanggunjawab menyebabkan kematian Petrus. Apakah yang terjadi selepas itu? Jangan lupa saksikan The Big 4 yang kini ditayangkan di Netflix.

Kisah sekumpulan pembunuh upahan sememangnya sudah banyak dihasilkan dalam bentuk filem, namun filem The Big 4 ini berjaya menampilkan jalan cerita yang segar walaupun naratifnya simple. Jalan cerita yang tidak terlalu berat, ditambah lagi dengan lakonan dan dialog bersahaja para pelakonnya, menimbulkan keseronokan menonton yang tersendiri. Malah, penonton tidak perlu sarat berfikir untuk menghayati jalan cerita filem ini. 

Babak aksi filem The Big 4 dikoreograf dengan agak menarik, dengan pacing pantas dan camera shot yang unik. Namun, ianya bukan filem yang sesuai ditonton oleh anak-anak, kerana menampilkan elemen ganas dan juga gore seperti kepala pecah ditembak, tangan putus ditetak dan lain-lain. Namun begitu, ianya masih terkawal dan tidak keterlaluan. Menariknya, ada pula dialog kelakar di tengah-tengah adegan gore dan tembak-menembak. Dan ianya berhasil, dan tak janggal! 

Kelucuan sudah tentunya timbul sejak dari awal filem The Big 4 lagi. Interaksi watak-watak, terutamanya Pelor dan Jenggo, ternyata menghidupkan suasana. Watak Topan juga yang pada awalnya kelihatan cool dan hebat, rupanya berupaya juga menjadi watak kelakar, terutamanya babak pertama berjumpa Dina di Paranais Villa. Interaksi dan babak-babak lucu tak terjangka ini juga menimbulkan keunikan tersendiri untuk filem ini. 

Filem The Big 4 merupakan sebuah filem yang menghiburkan dengan jalan cerita bersahaja, aksi pantas dan komedi one-liner yang kena pada masanya. Pengakhiran filem ini juga memberi bayangan akan adanya sambungan filem ini nanti. 

PENILAIAN : 4.5/5 BINTANG 

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post