Kami telahpun menonton filem tempatan paling ditunggu-tunggu tahun ini, iaitu Mechamato Movie (2022), dan ini adalah review filem Mechamato Movie dari kami.

Mechamato Movie merupakan prekuel kepada siri animasi Mechamato, jadi tiada masalah sekiranya penonton tidak mengikuti atau menonton siri TV Mechamato terlebih dahulu. Mechamato Movie mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Amato, yang secara tak sengaja telah terlihat sebuah kapal angkasa terhempas di Bumi dan menemui sebuah robot aneh yang bernama MechaBot. Pertemuan tak dijangka itu menjadikan mereka sebagai teman rapat yang saling membantu sewaktu dalam kesusahan. Apatah lagi Amato secara tiba-tiba menjadi tuan kepada MechaBot, membolehkan Amato untuk menggunakan kuasa aneh yang dimiliki MechaBot untuk Mechanize dengan objek harian biasa menjadi peralatan atau senjata yang canggih. Dalam masa sama, pergerakan MechaBot telah dijejak oleh alien pemburu Power Sfera bernama Grakakus. Berjayakah Grakakus merampas MechaBot dari Amato? Jangan lupa tonton Mechamato Movie yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. 

Bagi kami yang biasa menonton siri animasi Mechamato terlebih dahulu (dengan anak), tayangan filem Mechamato Movie ini sememangnya amatlah dinantikan. Dan tidaklah keterlaluan jika kami katakan, filem ini melepas ekspektasi kami dalam pelbagai aspek!. Syabas diucapkan kepada team Monsta yang berjaya come up dengan filem yang penuh dengan elemen tempatan. Motif, corak, rekabentuk dan nama yang dipaparkan amatlah cocok dengan elemen kebanggaan negara, seperti gerakan pencak silat, rekaan motif wau dan congkak, malah bangunan berteknologi tinggi berbentuk destar (dan dinamakan pula Destar Corp yang menggunakan rekabentuk tengkolok yang juga dikenali sebagai Dendam Tak Sudah). Malahan, bandar Kota Hilir yang merupakan tempat tinggal Amato juga diinspirasikan dari negeri Melaka. Menarik bukan?

Pengembangan watak utama (Amato dan Mechabot) adalah amat baik. Gabungan elemen kelakar, serius, dan sisi 'main-main' dimiliki Amato berjaya menimbulkan keseronokan menonton filem ini. Jika dalam siri TV, watak Pian dan Mara seolah hanya watak sampingan, namun dalam filem Mechamato Movie, kedua-dua watak ini hampir setanding presencenya dengan dua watak utama tadi. Dan tahniah juga buat team Monsta kerana menampilkan watak Mara, seorang OKU sebagai simbol representasi OKU dalam penerbitan mereka.

Pacing filem Mechamato Movie ini memang laju, dan penonton tidak sempat untuk merasa bosan mahupun mengantuk ketika menontonnya. Ditambah dengan babak pertarungan yang menarik, hingga terkadang hampir terlupa yang kami sedang menonton sebuah filem animasi hasil tangan anak tempatan. Kualiti babak pertarungan, terutamanya di adegan penghujung filem ini ternyata mengujakan. Amat terasa 'ketegangan' ketika watak penjahat Grakakus menjadikan beberapa tebusan sebagai mangsa untuk mengumpan Amato memberikan MechaBot kepadanya. 

Selain Amato dan MechaBot watak yang paling menarik perhatian dalam filem Mechamato Movie ini sudah tentunya Maskmana. Jika sebelum ini watak Maskmana hanya tampil dalam siri BoboiBoy dan penuh misteri, kini rahsia watak tersebut terungkai dalam filem Mechamato Movie. Dan tak sangka, watak Maskmana amat-amat hebat dalam filem Mechamato Movie. Tak mustahil sekiranya ada yang menjadi watak Maskmana sebagai watak cosplay nanti. Ditambah pula dengan watak penjahat Grakakus yang memang amat-amat jahat dan kejam, menyebabkan pertarungan kedua-dua watak ini sahaja pun dah cukup menjadikannya pertarungan epik dalam sejarah filem animasi tempatan.

Setelah beberapa kali tertangguh akibat pandemik COVID-19, akhirnya filem Mechamato Movie ini ditayangkan juga, Dan sesungguhnya penantian ni amatlah berbaloi, ditambah pula dengan pemilihan tayangan di musim cuti sekolah. Ternyata, Mechamato Movie kini tersenarai sebagai salah satu filem animasi tempatan yang boleh dibanggakan.

P/S: Jangan terus keluar selepas selesai filem Mechamato Movie, kerana ada adegan mid credit scene yang memberi sedikit gambaran tentang BoboiBoy.  

PENILAIAN : 5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post