Siapa sangka, filem Qorin yang pada mulanya kami sangkakan hanyalah filem seram tipikal, akhirnya membuatkan mata kami tidak lepas dari layar perak. Seram, tapi masih mahu menonton apakah yang bakal berlaku seterusnya. Begitulah gambaran awal yang kami boleh berikan untuk filem Qorin ini. Terlebih dahulu, terima kasih kepada Antenna Entertainments atas jemputan tayangan Exclusive Preview Screening semalam.
Filem Qorin mengisahkan tentang Zahra (lakonan Zulfa Maharani) yang bersekolah di sebuah sekolah yang kelihatannya seperti sekolah asrama pondok untuk pelajar perempuan. Asrama yang lengkap dengan kebun, sungai, dan tempat ternakan itu mengajar kemahiran agama Islam kepada Zahra dan rakan-rakannya. Dengan pantas juga, penonton diperkenalkan dengan watak Ustad Jaelani (lakonan Omar Daniel) yang merupakan guru agama di asrama tersebut, isterinya bernama Umi Hana (lakonan Dea Annisa) dan juga Umi Yana (lakonan Putri Ayunda) yang merupakan penyelia asrama.
Suatu hari, seorang pelajar baru bernama Yolanda diterima masuk di asrama tersebut, dan Zahra dilantik untuk membantu Yolanda menyesuaikan diri dengan kehidupan di situ. Walau bagaimanapun, keadaan yang pada mulanya tenang bertukar menjadi huru-hara apabila Ustad Jaelani memaksa pelajar-pelajar tersebut melakukan ritual Qorin, kononnya sebagai salah satu syarat bergraduat. Semenjak itu, Zahra dan pelajar-pelajar lain mulai diganggu bayangan jin yang menyerupai diri mereka, dan mengganggu ketenteraman di situ. Apakah rahsia yang disimpan di asrama pondok tersebut, dan dapatkah Zahra dan rakan-rakannya menghapuskan gangguan Qorin itu? Jangan lupa saksikan filem Qorin yang akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 29 Disember 2022 (Khamis) ini.
Filem Qorin mempunyai masa tayangan 1 jam 49 minit, namun dirasakan tak cukup nafas rasanya. Manakan tidak, ketakutan demi ketakutan 'disajikan' untuk tontonan penonton. Satu demi satu elemen seram dan jumpscare muncul, sehingga kami rasakan seolah-olah telah duduk hanya di hujung kerusi. Barisan pelakon seperti Zulfa Maharani, Aghniny Haque, Dea Annisa, Naimma Aljufri, Cindy Nirmala, Alyssa Abidin dan Putri Ayudya, ditambah lagi dengan lakonan mantap Omar Daniel, Yusuf Mahardika, Ridwan Roul dan Pritt Timothy menambahkan ketegangan dan kacau-bilau suasana dalam filem Qorin.
Penggunaan elemen Qorin dalam filem ini dilihat sebagai sesuatu yang baharu, dan bijak dari pengarahnya, Ginanti Rona. Jika diamati, watak manusia biasa dan qorin dalam filem Qorin ini seolah-olahnya memperlihatkan sisi baik dan sisi jahat manusia, yang hanya menunggu 'pencetus' sahaja untuk digunakan secara salah. Tanpa mahu bercerita tentang spoiler filem Qorin ini, dapatlah kami katakan yang penjahat sebenarnya memang tak tersangka sama sekali.
Penutup filem Qorin juga seperti seolahnya ada sambungan nanti. Filem Qorin ini ternyata berjaya menimbulkan keseramannya tersendiri, walaupun filem bergenre seram ini kebiasaannya terikat dengan jalan cerita cliche' dan dapat diteka penamatnya.
PENILAIAN : 4.5/5 BINTANG
Post a Comment