Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem seram terbaharu, M3GAN (2023) bertempat di GSC The Starling Mall. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut.

M3GAN mengisahkan tentang Gemma (lakonan Allison Williams), seorang pakar robotik yang bertugas di sebuah syarikat permainan terkemuka, dan secara senyap-senyap telah menggunakan kepakarannya untuk menghasilkan M3GAN (singkatan untuk Model 3 Generative Android), dan merupakan sebuah patung permainan bersaiz sebenar yang diprogram untuk menjadi peneman kepada kanak-kanak dan pembantu kepada orang dewasa. M3GAN boleh mendengar, melihat dan belajar sambil menjadi sahabat dan guru, juga sebagai rakan sepermainan dan pelindung kepada kanak-kanak yang dipadankan dengannya. M3GAN merupakan pencapaian tertinggi dalam kepintaran buatan (AI).

Apabila Gemma secara tiba-tiba terpaksa menjadi penjaga kepada anak saudaranya yang yatim piatu berumur 8 tahun bernama Cady (lakonan Violet McGraw), Gemma yang ternyata tidak bersedia mengambil alih tugas menjaga kanak-kanak telah memadankan prototaip M3GAN kepada Cady - satu keputusan yang ternyata punyai akibat yang dahsyat sehingga membawa kematian! Jangan lupa saksikan M3GAN yang kini ditayangkan di pawagam.

Premis anak patung pembunuh seperti mana ditampilkan dalam filem ini sebenarnya sudah basi, dan hanya mengitar semula idea filem anak patung pembunuh sebelum ini. Cuma yang berbeza kali ini, ianya menggabung jalinkan idea dari beberapa filem ke dalam satu filem. Sepanjang menonton filem M3GAN, kami tidak lepas dari berfikir persamaannya dengan filem-filem seperti Child´s Play (1988), I, Robot (2004) dan Annabelle (2014). Malah jumpscare di adegan-adegan tertentu juga telah boleh dibaca dari awal, menghilangkan element of surprise dan hanya sekadar filem seram dengan tema anak patung android pembunuh.

Dari aspek jalan cerita, kami dapati filem M3GAN agak rushing, seolah-olah terlalu cepat ingin dihabiskan. Temponya agak laju, dari mula M3GAN diperkenalkan, sehinggalah tiba-tiba keputusan diambil syarikat untuk memasarkan M3GAN ke seluruh negara tanpa kajian menyeluruh. Jika dalam filem I, Robot (2004), robot dihasilkan menggunakan tiga prinsip asas dalam Three Laws of Robotics seperti yang diperkenalkan oleh penulis sains fiksyen Isaac Asimov, namun M3GAN dalam filem ini seolah-olah tiada safeguard yang menghalang android secanggihnya untuk bypass sistem komputer dan sistem elektronik, satu flaw yang tak sepatutnya dilakukan oleh Gemma jika benar dia pakar robotik terkemuka. Lazy writing, mungkin?

Seperti yang kami nyatakan tadi, elemen jumpscare walaupun tidak banyak, tetapi masih boleh mendatangkan kejutan. Terutamanya apabila M3GAN tampil di skrin, ditambah pula dengan muka anak patung yang tiada reaksi, dan suara yang monotonous, sekaligus menambahkan aspek gerun terhadap M3GAN. Namun, jangan terlalu berharap kerana bagi kami, ianya biasa sahaja dan boleh dijangka. Sesungguhnya kami mengharapkan sesuatu yang lebih hebat lagi, memandangkan dua nama terkemuka dalam bidang penghasilan filem seram iaitu James Wan dan Jason Blum terlibat sebagai penerbit filem M3GAN ini.

Jangan lupa saksikan filem M3GAN untuk mengetahui kesudahan filem ini. Dan melihatkan pengakhiran filem ini, dijangkakan ada ada filem sambungannya nanti.

PENILAIAN : 3.5/ 5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post