Dalam penyiasatannya, Landor dibantu secara tak sengaja oleh Edgar Allan Poe, juga seorang kadet di akademi tersebut. Dengan gabungan kepakaran kedua-duanya, mereka berjaya merungkai sedikit demi sedikit misteri pembunuhan tersebut. Namun, kedua-dua mereka terpaksa mengejar masa apabila satu demi satu kadet turut menjadi korban, dan jantung mereka dikerat keluar. Mampukah Landor dan Poe menyelesaikan misteri tersebut? Jangan lupa saksikan filem The Pale Blue Eye yang kini boleh ditonton di Netflix.
Pada awalnya kami agak skeptikal apabila membaca tajuk filem ini, kerana bunyinya semacam membosankan. Apa yang menarik kami untuk menontonnya adalah disebabkan tersenarainya Christian Bale dalam senarai pelakonnya. Dan setelah selesai menonton filem ini, ternyata telahan kami meleset. Bagi mereka yang menggemari filem misteri pembunuhan dan disulami pula dengan elemen pemujaan ilmu hitam, boleh dikatakan ini adalah filem wajib tonton! Walaupun ada beberapa adegan yang sedikit slow build, namun ending filem ini ternyata di luar jangkaan kami. Nampak seperti tiada motif, tetapi rupa-rupanya motif pembunuhan beberapa kadet dalam filem The Pale Blue Eye ini saling berkait antara satu sama lain!
Selepas penampilan yang agak mengecewakan dalam filem Thor: Love and Thunder, ternyata Christian Bale kembali menampilkan lakonan cemerlang untuk filem The Pale Blue Eye. Dalam filem ini, dapat dilihat yang Bale menampilkan range emosi yang berbeza-beza, sebagai seorang duda, sebagai seorang bapa yang kehilangan anak perempuan, dan sebagai pesara yang dianggap hanyalah seorang kaki botol yang hanya menghabiskan sisa hidupnya seorang diri.
Selepas menonton filem Glass Onion: A Knives Out Mystery (yang sedikit mengecewakan), filem The Pale Blue Eye ini memberikan keseronokan menonton yang lebih baik. Kami seronok menontonnya sehingga ke akhir (namun tak dinafikan ada adegan yang meleret dan tak diperlukan).
Lakonan Harry Melling sebagai penyajak Edgar Allan Poe juga tidak kurang hebatnya. Melling berjaya compliment Bale dan 'menyokong' watak lakonan Bale dengan baik sekali. Imbangan dinamik lakonan kedua mereka ini sangat menarik, dan membawa emosi yang sangat tinggi sehingga ke penghujung filem.
Filem The Pale Blue Eye diarahkan oleh Scott Cooper, dan diadaptasikan dari novel dengan tajuk sama yang diterbitkan pada 2003 karya Louis Bayard. Ianya dibarisi pelakon seperti Christian Bale, Harry Melling, Gillian Anderson, Lucy Boynton, Charlotte Gainsbourg, Toby Jones, Timothy Spall dan Robert Duvall.
Keseluruhannya, filem The Pale Blue Eye merupakan filem misteri pembunuhan yang agak baik, dan pada kami antara lakonan terbaik oleh Christian Bale.
PENILAIAN : 4/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment