Filem Zaara mengisahkan tentang Remy (lakonan Kamal Adli), seorang anak muda yang gemarkan aktiviti permotoran dan mempunyai keluarga yang penyayang. Namun begitu, Remy merupakan seorang yang penakut pada hantu dan tidak berani keluar malam. Ketakutannya pada hantu sangat kritikal, sehinggakan untuk tidur pun perlu ditemani ibu dan bapanya, iaitu Rosnah, dan bapanya Hashim (lakonan Azlee Senario). Selain itu, Remy ditemani oleh sahabat karibnya, Budi (lakonan Syaiful Zero) yang sering bersama-samanya ke mana-mana.
Kisah bermula apabila Remy terlibat dalam kemalangan kereta selepas berjumpa dengan Maya (lakonan Atikah Suhaimi), dan terjumpa sebuah rantai dan loket misteri tersangkut di keretanya. Sejak kejadian itu, pelbagai kejadian pelik dan menyeramkan berlaku, dan perangai Remy juga mulai berubah. Kemuncaknya adalah apabila dia seolah-olah dirasuk dan melakukan perkara-perkara di luar kawalan. Yang peliknya, beberapa kejadian pembunuhan turut berlaku ketika Remy dirasuk. Apakah yang merasuk Remy, dan apakah perkaitan Remy dengan kes pembunuhan tersebut? Jangan lupa saksikan filem Zaara yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.
Secara jujurnya, sukar bagi kami untuk menulis review filem Zaara ini. Namun atas permintaan sorang sahabat, kami gagahkan jua menonton sehingga ke akhir filem. Namun hakikat tetap kekal hakikat, dan walaupun filem ini berstatus filem tempatan, namun tidak terkecuali daripada kritikan Dari awal filem ini bermula, puas kami fikirkan motif kenapa filem ini dihasilkan. Jalan ceritanya agak berterabur dan pada awalnya kelihatan seperti tiada perkaitan. Kualitinya pula boleh dikatakan setanding filem yang dihasilkan zaman penghasilan filem VCD suatu masa dulu (dan menandakan kami ni sememangnya dah tua kerana sempat membesar di zaman filem VCD. Haha).
Selain jalan cerita yang lemah, filem Zaara juga bergelut dengan skrip yang meloyakan. Adegan komedi yang tiada komedinya, dialog cringe a-la filem rempit, malah ada adegannya pula jumpy dan bertukar secara tiba-tiba, seolah-olah tiada continuity. Di samping itu juga, satu masalah biasa bagi filem-filem tempatan sebegini adalah kualiti dubbing suara pelakonnya. Setelah lama tidak mendengar kualiti dubbing seteruk ini, kami terkejut apabila kembali mendengarnya di tahun 2022, yang tidak sepatutnya berlaku. Tangkap muat, mungkin?
Dari segi kualiti lakonan, mengucap panjang kami dibuatnya. Mengejutkan apabila ada beberapa pelakon yang boleh dikatakan senior dan berpengalaman, tetapi menampilkan mutu lakonan yang 'kayu' dan 'kaku'. Lontaran dialog, mimik muka dan gerak laku seakan tidak selari. Ini ditambahkan pula dengan kualiti dubbing yang mengecewakan. Jika diberikan skrip yang bagus, kami percaya kisah sebegini boleh diolah dengan baik. Namun jujur jika kami katakan, drama swasta TV1 lebih bagus jika dibandingkan dengan filem Zaara ini.
Sejujurnya, kami percaya ramai peminat di luar sana yang berminat menyokong dan menonton filem tempatan jika jalan cerita dan skripnya bagus. Namun sayang, filem Zaara ini masih bermain dengan naratif tipikal filem Melayu zaman 90-an/ awal 2000. Jalan cerita yang lemah, dialog yang tak meyakinkan, lawak slapstik yang cringe, ditambah pula dengan watak sampingan yang tidak membantu jalan cerita, menyebabkan filem Zaara ini menjadi sebuah filem dengan resepi bunuh diri untuk tayangan di pawagam.
PENILAIAN : 1/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
raut muka atikah suhaimi nampak pelik bedak terlalu kepoh. lagi cantik tanpa makeup tebal
ReplyDeletePost a Comment