Setelah sekian lama giat menyenaraikan projek-projek baharu superhero, kini dikhabarkan yang Marvel Studios akan `memperlahankan´ pengeluaran projek-projek baharu Marvel, terutamanya siri TV untuk tayangan di Disney+

Menurut laporan portal The Hollywood Reporter, Disney dilaporkan telah meminta Marvel untuk memberi sela masa lebih panjang untuk siri Disney+ original yang akan ditayangkan. Secara tak langsung, ini bermakna kemungkinan siri-siri TV yang dijadualkan untuk tayangan pada tahun ini juga akan ditunda ke tahun hadapan.

Sejak tahun 2017, Marvel secara konsisten telah menayangkan sekurang-kurangnya 3 filem baharu di pawagam setiap tahun. Namun sejak kemunculan saluran penstriman Disney+, ianya sedikit berubah. Sejak 2021, penerbitan baharu studio berkenaan mengalami peningkatan ketara, dengan beberapa siri TV dilancarkan setiap tahun yang turut diselang selikan dengan tayangan filem baharu. Walaupun ianya sangat dialu-alukan oleh peminat tegar MCU, terdapat juga kalangan penonton yang merasakan longgokan siri-siri baharu berkenaan menyebabkan content overload akibat terlalu banyak siri yang ingin ditonton. Apatah lagi, kesemua siri dan filem Marvel Studios mempunyai kaitan dan kesinambungan, menyebabkan penonton `terpaksa´ menonton untuk memastikan tidak terlepas kaitan jalan cerita antara satu sama lain.

BERKAITAN: Siri Ironheart Bakal Mendapat Sentuhan Pengarah Filem Black Panther!

Jika ini berlaku, ianya sudah tentu akan memberi kesan kepada projek-projek yang telah diumumkan sebelum ini, terutamanya yang tersenarai dalam MCU Fasa 5. Dimulakan dengan filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania yang kini sedang ditayangkan di pawagam, Marvel Studios telah menyenaraikan 5 siri Disney+ untuk tayangan pada tahun ini iaitu Secret Invasion, Loki Musim 2, Echo, Ironheart dan Agatha: Coven of Chaos. Namun terdapat sumber yang menyatakan hanya siri Secret Invasion dan Loki Musim 2 yang akan ditayangkan pada tahun ini, mana 3 siri lain akan ditunda tayangannya ke tahun 2024. 

Nantikan perkembangan terbaharu dari Marvel Studios tentang perkara ini.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post