Kami telahpun menonton filem animasi tempatan yang agak menarik tahun ini, iaitu Didi & Friends The Movie (2023), dan ini adalah review filem Didi & Friends The Movie dari kami.

Baik yang telahpun berkeluarga mahupun belum, animasi Didi & Friends sememangnya dekat di hati penonton. Dengan populariti siri animasi dan lagu-lagu yang mudah menambat hati sesiapa sahaja yang menontonnya, pengumuman penghasilan filem Didi & Friends The Movie sememangnya tidaklah mengejutkan. 

Didi & Friends The Movie mengisahkan tentang tiga sekawan, iaitu Didi, Jojo dan Nana yang diberi tugas oleh Pak Atan untuk menganjurkan Konsert Hora Horey di Pekan Horey, tempat mereka tinggal. Ketika semua persiapan kelihatannya berjalan lancar, tiba-tiba timbul masalah melibatkan Pak Beruang, menyebabkan Pak Atan dan Pak Beruang terpaksa mengembara ke Pulau Legenda untuk mencari penawar. 

Namun, Didi mendapat tahu Pak Atan dan Pak Beruang diancam bahaya oleh kehadiran lanun langit misteri bernama Torra yang juga sedang menjejaki Pulau Legenda, yang sebelum ini hanya dianggap sebagai mitos. Disebabkan itu, Didi, Nana dan Jojo turut menyusul untuk mengesan lokasi Pak Atan dan Pak Beruang sebelum ditangkap Torra. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Jangan lupa tonton filem Didi & Friends The Movie yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Seperti mana siri animasi Didi & Friends, filem Didi & Friends The Movie adalah sebuah filem separa muzikal amat mudah difahami jalan ceritanya. Kami katakan ianya separa muzikal kerana ianya masih mempunyai jalan cerita yang mudah difahami, dan diselang seli dengan lagu-lagu baharu yang menarik. Namun, janganlah mengharapkan lagu-lagu terkenal Didi & Friends yang biasa disiulkan oleh kanak-kanak seperti B.I.N.G.O., Semut Berkawad dan lain-lain, kerana lagu-lagu yang ditampilkan kesemuanya adalah lagu baharu yang mungkin agak asing sekiranya kanak-kanak yang menonton ingin sing along. Namun, ianya masih menarik dan catchy.

Dari aspek animasi, pujian harus diberikan kepada team Warnakala Studios dan Digital Durian, kerana  animasi kesemua watak-watak dalam filem Didi & Friends The Movie ini amatlah menarik dan berwarna-warni. Ternyata animasi tempatan semakin meningkat naik dari segi kualiti dan ketelitian, sehingga berjaya menampilkan render animasi yang begitu memukau di layar perak. Kalau kami yang dewasa ini pun teruja menontonnya, apatah lagi kanak-kanak yang merupakan kumpulan sasar filem ini.

BERKAITAN: Saksikan Treler Filem Didi & Friends The Movie - Bakal Ditayangkan Februari 2023!

Selain watak-watak dikenali ramai seperti Didi, Nana, Jojo, Pak Atan dan Pak Beruang, watak-watak sampingan juga berjaya terampil dengan perwatakan sendiri. Menampilkan suara artis terkenal tempatan seperti W.A.R.I.S (sebagai Torra), Amelia Henderson (sebagai Kapten Zee) dan Ruminah Sidek (sebagai Nenek Kura), kesemua mereka berjaya menampilkan perwatakan yang tersendiri dengan dialog bersahaja. Namun, yang paling mencuri tumpuan sudah tentunya watak oleh Dato’ Awie (sebagai Tok Chip), yang membawakan kelucuan tersendiri dengan keletah dan dialognya. Dari beberapa kali tersilap menyebut nama Nana, sehinggalah ayat ¨Torra datang lagi!¨ (reference yang mungkin hanya orang seusia kami sahaja akan faham), Tok Chip berjaya membuatkan penonton tak kering gusi.

Filem Didi & Friends The Movie turut memperkenalkan pasukan Satria-Z, yang merupakan pasukan seakan polis angkasa diketuai oleh Kapten Zee. Bersama pasukannya, mereka memburu Torra dan kumpulan lanunnya yang mengancam ketenteraan sejagat. Pengenalan pasukan ini adalah amat menarik dan memberikan ruang untuk pengembangan kisah dalam filem ini di masa akan datang. Namun, organisasi di sebalik Satria-Z masih misteri, dan kami harap ianya dapat dihuraikan oleh pihak Digital Durian dan Warnakala Studios, mungkin dalam filem sambungan atau filem spin-off nanti? Potensi untuk menghasilkan figura aksi pun tinggi nampaknya, melihatkan watak-watak yang ada.

Watak Torra lakonan W.AR.I.S. menampilkan kekejaman tersendiri, namun seperti biasa perlu di`tone-down´ untuk filem ini. Namun pengakhiran watak berkenaan filem Didi & Friends The Movie ternyata agak lari dari kebiasaan, sesuatu yang tak dijangka dan mempunyai twist tersendiri sehingga mampu menjentik rasa dan naluri sesiapa yang menontonnya. 

Secara keseluruhan, filem Didi & Friends The Movie memilih tarikh yang tepat untuk tayangan di pawagam di musim cuti sekolah ini. Walaupun animasi asal Didi & Friends itu pada awalnya mungkin menyasarkan kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, namun penghasilan filem Didi & Friends The Movie telah berjaya mengubah persepsi tersebut, dan sebenarnya sesuai ditonton oleh semua peringkat umur. Selepas kita dihidangkan dengan filem-filem berat yang memerlukan cerakinan minda, filem bernada gembira dan santai seperti ini sudah tentunya amat dialu-alukan. 

PENILAIAN : 5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post