Kami telahpun menonton filem Imaginur (2023), filem tempatan yang mencetuskan fenomena baharu. Ya, kami tahu kami agak terlewat menonton filem ini di pawagam, jadi ini adalah review filem Imaginur dari kami.

Dibarisi pelakon filem ternama tanah air seperti Beto Kusyairy, Diana Danielle, Dato' Afdlin Shauki, Fatimah Abu Bakar, Dato' Rahim Razali, Mior Hashim Manap dan ramai lagi, filem Imaginur diarahkan Nik Amir Mustapha hasil nukilan lakon layar beliau bersama-sama Redza Minhat. Filem terbitan Lumatics Film ini mengisahkan tentang Zuhal, seorang lelaki biasa yang menjalani kehidupannya sendiri bersama-sama adik perempuannya dan bapanya yang telah tua dan menghidap Alzheimer. Namun hidup Zuhal mula berubah setelah disapa oleh seorang wanita ketika menemani bapanya yang menjalani rawatan di hospital. Satu demi satu lapisan kisah dirungkai, sehingga membawa Zuhal menjalani satu prosedur rawatan alternatif, hinggalah Zuhal terlihat bayangan seorang wanita bernama Nur yang menjadikan hidup Zuhal semakin kompleks. Siapakah Nur, dan apakah kaitannya dengan hidup Zuhal? 

Walaupun terlambat menonton filem Imaginur, kami akui amat berpuas hati akhirnya sempat juga menonton filem ini di pawagam sebelum tamat tempoh tayangannya. Harus akui, sudah agak lama kami tak menonton filem yang memprovokasi minda seperti Imaginur ini, menyebabkan kami terpaksa fokus dan berfikir boleh dikatakan hampir di sepanjang tayangan filem berdurasi 95 minit ini. Pada awalnya hanyalah kelihatan seperti filem cinta dan chick flick biasa, namun asakan demi asakan minda terhadap `lapisan' dalam filem ini hampir sahaja membuatkan kami hilang fokus, jika tidak menumpukan perhatian sedari awal. Temanya tidaklah berat, tetapi gaya olahan filem ini ternyata satu percubaan berani dari pengarahnya untuk membuka minda penonton, meneroka dan meneka pengakhiran filem Imaginur.

Filem Imaginur mengangkat tema kesihatan mental yang ternyata masih agak asing di kalangan masyarakat kita. Isu depresi, penyakit Alzheimer, panic attack dan hypnotherapy dalam naskhah filem Imaginur tentunya memerlukan kajian mendalam dan tidak boleh diletakkan secara sambil lewa. Ini sedikit sebanyak dapat membuka mata penonton tentang kesedaran penyakit mental berkenaan. Kami belajar suatu perkara baharu apabila menonton filem Imaginur ini. 

Filem Imaginur ternyata lain dari kebiasaan filem tempatan, apabila menampilkan jalan cerita yang menarik, dialog perbualan yang natural, muzik dan lagu yang menarik, dan barisan pelakon yang berwibawa, Ya, pelakonnya tidaklah ramai, tapi cukup untuk menghidupkan mood dan membawa `beban´ keseluruhan filem ini. Sinematografinya juga menarik, menjadikan kami terasa tenang dan senang menontonnya.

Sudah lama kami tidak menonton filem yang `memaksa´ kami berfikir seperti Imaginur. Jika diamati, Imaginur sebenarnya bereksperimen dengan minda penonton, dan penonton boleh tampil dengan pemahaman dan teori mereka sendiri tentang pengakhiran filem ini. Pengakhiran yang indah untuk olahan filem yang indah, Imaginur sememangnya istimewa dan tidak terikat dengan satu ending yang statik. Ianya hidup, berevolusi dan terpulang kepada pemahaman mereka yang menontonnya. 

PENILAIAN: 5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post