Kami telahpun menonton filem Seratus di Netflix, dan ini adalah review filem Seratus dari kami.
Filem Seratus mengisahkan tentang Hafiz (lakonan Sharul Kamal), seorang penghantar makanan yang tinggal bersama ibunya selepas ditinggalkan bapanya. Pada suatu malam, bapanya secara tiba-tiba datang ke rumah dan meminta Hafiz dan ibunya untuk segera berpindah. Namun Hafiz membantah, memarahi bapanya dan menghalaunya dari rumah.
Filem Seratus arahan Feroz Kader ini kelihatan unik kerana bukan sahaja menampilkan barisan pelakon utama seperti Sharul Kamal, Sara Ali, Wan Hanafi Su, Fauzi Nawawi, Fify Azmi dan Pablo Amirul, namun turut menampilkan cameo seramai 100 orang pelakon tempatan terdiri dari nama-nama besar industri, seperti Alif Satar, Amyra Rosli, Amyza Adnan, Dato´ Adi Putra, Aman Graseka, Dato´ Awie, Bront Palarae, Beto Kusyairy, Bell Ngasri, Elizabeth Tan, Fara Fauzana, Fahrin Ahmad, Dato´ Fizz Fairuz, Izzue Islam, Norman Hakim, Noorkhiriah, Roy Azman, Rusdi Ramli, Shukri Yahaya, Siti Saleha, Sweet Qismina, Tiz Zaqyah dan Ziana Zain.
Filem Seratus menampilkan jalan cerita yang boleh dikatakan mudah, namun tampil dengan debarannya tersendiri. Hanya berkisar kepada usaha menjejak sekeping duit RM100, ianya berkembang menjadi sebuah jalan cerita yang agak menarik untuk ditonton. Kemunculan satu demi satu cameo juga menyebabkan penonton tidak mudah bosan, dan tertunggu-tunggu siapa pula cameo yang akan muncul dalam babak seterusnya. Malah, dialog perbualan watak-watak yang ditampilkan juga kelihatan bersahaja dan tidak terikat dengan dialog perbualan kaku seolah membaca skrip.
Sebagai sebuah filem tempatan, filem Seratus berjaya menampilkan elemen aksi dan babak mendebarkan dengan agak baik. Namun, ianya tidak dapat lari daripada beberapa kelemahan yang masih boleh ditambahbaik. Paling ketara sudah tentunya babak pertarungan kumpulan rider penghantar makanan yang kelihatan agak kurang meyakinkan. Namun ianya tidaklah keterlaluan hingga mengganggu tempo keseluruhan jalan cerita filem ini.
Post a Comment