Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem seram terbaharu, bertajuk Khanzab (2023) bertempat di GSC Mid Valley pada 17 April 2023 yang lalu. Terima kasih kepada Antenna Entertainments atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Khanzab dari kami.

Filem Khanzab merupakan spin-off kepada filem Makmum (2019) dan Makmum 2 (2021), mengisahkan tentang Rahayu, seorang gadis yang telah menyaksikan bapanya dibunuh kejam dan dipenggal kepala di hadapan matanya. Bapanya telah menjadi mangsa pembunuhan kejam bomoh yang disyaki mengamalkan ilmu hitam sekitar Mei 1998 di Banyuwangi, Indonesia. Selepas kejadian berkenaan, Rahayu bersama-sama ibu tiri dan adik tirinya meninggalkan Banyuwangi dan kembali ke rumah dia membesar di Jetis. Walau bagaimanapun, keluarga Rahayu dicemuh dan disisihkan kerana dianggap keluarga malang dan pengamal ilmu hitam. 

Suatu malam, Rahayu bersolat di surau kampungnya untuk menenangkan diri dan mendekatkan dirinya dengan Tuhan. Walau bagaimanapun, terdapat entiti yang muncul dan mengganggunya ketika solat, iaitu khanzab. Dapatkah Rahayu menghentikan gangguan berkenaan, seterusnya menyelamatkan keluarganya dari ilmu hitam? Jangan lupa saksikan filem Khanzab yang akan ditayangkan di pawagam mulai Khamis, 27 April 2023 ini.

Kami  tidak pernah menonton filem Makmum mahupun Makmum 2, namun tidak mengapa kerana filem Khanzab ini mampu berdiri sendiri dan tidak memerlukan pemahaman yang kompleks. Menonton filem Khanzab ini, dapat dilihat yang industri filem seram Indonesia semakin ke hadapan. Manakan tidak, dalam tahun ini sahaja sudah beberapa filem seram Indonesia yang memasuki pasaran tempatan, kelihatan decent dengan jalan cerita yang menarik, dan disertakan dengan elemen seram yang tersendiri. 

Menggunakan elemen khanzab untuk menimbulkan situasi seram, jumpscare yang ditampilkan ada kalanya boleh dijangka dan tipikal seperti mana filem seram lainnya. Tidak dinafikan ada jumpscare yang menjadi, namun ada juga yang amat mudah dijangka. Paling ketara sudah tentunya bila mana watak utama seolah-olah bersahaja ingin bersendirian di tempat yang diketahuinya menyeramkan dan menakutkan, tapi masih juga pergi ke tempat berkenaan seorang diri tanpa peneman. Kalau dalam situasi sebenar, rasanya orang biasa memang tak jejak kaki dah ke situ. Tapi itulah filem kan? 

Untuk unsur-unsur gore, pada kami ianya agak ok dan tidak keterlaluan. Elemen pukau dan rasukan khanzab juga tampak realistik, dan tidak disangka. Namun mungkin elemen kesan khas dan CGI boleh ditambah baik, terutamanya penampilan ular jelmaan yang kelihatan sangat tidak realistik.

Kesimpulannya, filem Khanzab menampilkan jalan cerita yang mudah difahami, padat, dan di luar jangkaan, malah sedikit berbeza dari jalan cerita seram yang biasa disajikan. 

PENILAIAN: 3/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post