Kami telahpun menonton filem MCU yang amat dinanti-nantikan, iaitu Guardians of the Galaxy Vol. 3 (2023). Ya, kami tahu review ini lewat dikeluarkan (maklumlah, mencari motivasi untuk kekal relevan berblog + terjumpa minat baharu), dan ini adalah review filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 dari kami.

Guardians of the Galaxy Vol. 3 merupakan filem ketiga dalam trilogi filem Guardians of the Galaxy, dan sekali lagi diarahkan oleh James Gunn, sekaligus menandakan kali terakhir pasukan Guardians of the Galaxy versi James Gunn ini tampil di layar perak. 

Filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 mengisahkan pasukan Guardians yang menjalani kehidupan tersendiri yang menenangkan tanpa gangguan di planet Knowhere bersama-sama penduduk lain situ. Namun pada satu hari, kemunculan entiti aneh iaitu Adam Warlock (lakonan Will Poulter) yang dihasilkan oleh Golden High Priestess berbangsa Sovereign bernama Ayesha (lakonan Elizabeth Debicki), telah menyerang mereka, menyebabkan kecederaan di kalangan mereka, dan telah mencederakan Rocket (lakonan suara oleh Bradley Cooper) sehingga dirinya berada di ambang maut. Terdesak, pasukan Guardians mengerah seluruh tenaga mereka dan menjalankan misi untuk menyelamatkan nyawa Rocket, sehingga membawa mereka bertemu dengan sosok dengan latar belakang mencurigakan bergelar High Evolutionary (lakonan Chukwudi Iwuji), yang juga merupakan 'pencipta' Rocket. Apakah sebenarnya muslihat High Evolutionary, dan dapatkah Rocket diselamatkan daripada menemui ajalnya? Jangan lupa saksikan filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 yang kini sedang ditayangkan di pawagam. 

Sejujurnya, filem Guardians of the Galaxy telah mengorak langkah yang amat jauh. Daripada filem pertama menampilkan watak-watak komik Marvel yang sememangnya asing bagi bukan pembaca komik tegar (macam kami), ternyata Guardians of the Galaxy menampilkan sisi superhero yang agak lari dari kebiasaan. Siapa sangka filem superhero menampilkan watak manusia Bumi yang dibesarkan makhluk asing, pokok humanoid yang hidup, raccoon yang boleh bercakap, dan makhluk asing pelbagai warna dan latar belakang berjaya menambat hati penonton sehingga punyai pengikut tersendiri? Dan kini, pasukan superhero unik versi filem James Gunn ini telahpun sampai ke penghujungnya. Bagi kami yang telah mengikuti perjalanan pasukan Guardians of the Galaxy sejak awal, filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 ini ternyata adalah yang terbaik!

Untuk filem kali ini, James Gunn mempersembahkan jalan cerita latar belakang bagaimana Rocket, seekor raccoon telah menjadi bahan eksprimen sehinggalah menjadi dirinya yang sekarang. Perjalanan kisah Rocket dalam filem ini pada awalnya kelihatan biasa, namun menjadi penuh emosi sehingga membuai perasaan penonton dan membuatkan mata berair tanpa sedar. 

Walaupun menempuh perjalanan kisah menyayat hati berkenaan Rocket, namun tidak ditinggalkan comedic relief yang sudah menjadi signature untuk filem Guardians of the Galaxy. Kali ini, interaksi antara watak Drax (lakonan Dave Bautista) dan Mantis (lakonan Pom Klementieff) ternyata menghidupkan suasana. Turut mengejutkan apabila watak Nebula (lakonan Karen Gillan) turut berjaya mencuri tumpuan kali ini. Dan boleh dikatakan, hampir kesemua jalan cerita kisah watak-watak utama dalam filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 ini berjaya menemui closure dan membolehkan watak-watak berkenaan bergerak ke hadapan. 

Dari aspek visual dan kesan khas, James Gunn menggunakan segala kesempatan yang ada untuk menampilkan visual yang berwarna-warni dan striking. Dan sudah tentunya agak mengarut dan out of this world (yang ini, memang serahkan saja pada James Gunn untuk 'menjelmakan' dunia asing dan aneh). Lihatlah sahaja penampilan persekitaran di OrgoCorp yang pelik, dan dunia Counter-Earth yang kelihatan hampir sama dengan Bumi (tapi tak serupa).

Dari aspek aksi dan pertarungan, sudah tentulah tak dapat disangkal lagi. Babak yang paling menarik sudah tentunya ketika pertarungan watak-watak di Orgocorp, dan juga pertarungan di penghujung antara pasukan Guardians dan tentera aneh ciptaan High Evolutionary

Untuk watak penjahat, ternyata watak High Evolutionary amatlah meyakinkan. Penonton dapat merasai ada sesuatu yang tidak kena dengan watak ini sejak dari awal filem ini lagi, dan apakah sebenarnya motif penciptaan Rocket. Nampaknya untuk MCU Fasa 5 ini, High Evolutinary lebih function sebagai villain daripada Kang the Conqueror dalam filem Ant-Man And The Wasp: Quantumania.

Kesimpulannya, filem Guardians of the Galaxy Vol. 3 memberikan kepuasan menonton yang amat berbeza berbanding filem sebelum ini, iaitu Ant-Man And The Wasp: Quantumania. Ianya penuh emosi, dan merupakan penamat gemilang untuk gabungan pasukan superhero aneh dari panel komik yang mungkin agak jarang didengari. Namun ternyata, ianya berjaya dijelmakan di layar perak oleh James Gunn hingga berjaya mempunyai deretan pengikutnya tersendiri. Peminat MCU sudah pastinya akan merindui pasukan Guardians yang satu ini nanti. 

PENILAIAN: 4.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post