Kami telahpun menonton filem superhero yang telah lama kami nantikan, iaitu The Flash (2023), dan ini adalah review filem The Flash dari kami.

Selepas berhadapan dengan beberapa masalah sehingga terpaksa ditangguhkan dan ditunda beberapa kali, akhirnya filem The Flash `tiba' juga di pawagam. Namun sejauh mana signifikan kejadian dalam filem The Flash ini untuk DC Universe nanti, sama-samalah kita nantikan.

Untuk rekod, filem The Flash ini mengangkat tema dari jalan cerita komik Flashpoint, filem The Flash ini menyaksikan Barry Allen yang cuba memanipulasi masa, dengan kembali ke masa silam untuk menyelamatkan ibunya dari dibunuh, seterusnya menyelamatkan bapanya dari pertuduhan homisid. Namun, komplikasi akibat perlakukan itu telah menyebabkan realiti berubah secara total, menimbulkan huru-hara yang tidak berpenghujung dan memaksa Barry mengejar masa untuk mengubah segala-galanya kembali kepada asal.

Selepas multiverse versi MCU dan multiverse versi animasi dalam siri filem Spider-Verse, kali ini DC menggunakan acuan mereka sendiri untuk membawakan elemen multiverse versi mereka pula. Dan sesuai jika dikatakan elemen multiverse yang ditampilkan menjadi menarik, malah DC seboleh mungkin cuba untuk mengekalkan elemen dari panel komik dan filem animasi Flashpoint Paradox ke dalam filem The Flash ini. Peranan kuasa Speed Force diaplikasikan sebaik mungkin, namun mungkin agak memeningkan bagi mereka yang kurang mengikuti komik The Flash ataupun tidak memahami peranan Speed Force sebagai sumber kuasa The Flash dan speedster lain dalam siri The Flash

Disebabkan tindakan The Flash yang mengambil keputusan terburu-buru, menyebabkan masa realiti berubah dan membawa watak-watak lain ke dalam realiti baharu. Siapa sahaja yang tak teruja apabila melihat Michael Keaton kembali sebagai Batman, siap dengan Batmobile dan Batwing dari trilogi filem awal Batman? Malah, penampilan Ben Affleck kali terakhir sebagai Batman dalam filem ini juga sangat mengujakan, mengubat kerinduan peminat terhadap Batman versi berkenaan yang sayangnya hanya sekejap dapat dikecap akibat sikap gopoh pengurusan terdahulu yang menukar line-up Batman mengikut tekak sendiri. Realiti baharu yang dicipta Barry juga telah menyebabkan tiada lagi metahuman di Bumi dalam realiti berkenaan. Ya, tiada Cyborg, tiada Aquaman, tiada Wonder Woman. Malah, kapal angkasa yang membawa Kal-El/ Superman juga tidak sampai ke Bumi, dan hanya kapal yang membawa Kara Zor-El/ Supergirl sahaja yang sampai.

Filem The Flash ternyata menampilkan kejutan demi kejutan, dari sudut ini kejutan yang 'bersepah' dengan cameo yang tak terjangka. Filem dah nak habis pun masih ada cameo yang mengejutkan. Namun, kami merasakan eloklah The Flash versi Ezra Miller ni habis setakat ini sahaja. Walaupun tidak banyak adegan `kelakar terpaksa' seperti lari tersadung kaki sendiri dan sebagainya, namun permainan emosinya untuk babak-babak emosional melibatkan watak Barry Allen ada kalanya tidak kesampaian. Kami boleh puji kedua-dua watak Bruce Wayne/ Batman lakonan Michael Keaton dan Ben Affleck yang memainkan peranan sebagai mentor dan father figure kepada Barry. 

Seperti mana yang kami dengar (dan baca) sebelum ini, ternyata inconsistencies melibatkan aspek CGI agak mengganggu tontonan filem The Flash ini. Entah di mana silapnya, ada adegan CGI yang kelihatan sangatlah teruk, seolah-olah CGI yang tak siap.

Kesimpulannya, filem The Flash berjaya menampilkan elemen multiverse versi DC dengan baik. Pemahaman elemen multiverse dalam filem ini tidak menjadi masalah buat kami, namun bagi mereka yang agak asing dengan elemen berkenaan mungkin akan hadapi masalah untuk memahaminya. Yang pasti, filem The Flash ini adalah filem DCEU yang kami rasakan amat baik selepas filem Black Adam (2022), walaupun filem Shazam! Fury of the Gods (2023) sedikit mengecewakan.

Ada satu adegan post credit scene, jadi jangan terus keluar dari pawagam!

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post