Kami telahpun menonton filem animasi yang amat kami nanti-nantikan tahun ini, iaitu Spider-Man: Across the Spider-Verse (2023), dan ini adalah review filem Spider-Man: Across the Spider-Verse dari kami.

Setelah mendatangkan keterujaan dengan penampilan filem pertama, Spider-Man: Into the Spider-Verse (2018), sememangnya sambungan filem berkenaan amatlah dinanti-nantikan. Sebagai filem sambungan, Spider-Man: Across the Spider-Verse menampilkan keseronokan tontonan yang lebih baik. Berbanding filem terdahulu yang hanya menampilkan beberapa watak Spider-People (watak-watak unik yang punyai kuasa labah-labah dari pelbagai realiti), filem Spider-Man: Across the Spider-Verse ini ditambah baik dengan menampilkan berpuluh, malah beratus watak-watak Spider-People (yang kini dikenali sebagai organisasi bergelar Spider Society) pula. Menarik bukan?

Sony mengambil langkah bijak apabila mengadaptasikan jalan cerita multiverse dalam bentuk filem animasi. Ternyata ianya menjadikan jalan cerita dan permainan warna dalam filem Spider-Man: Across the Spider-Verse ini menjadi jauh lebih menarik. Apatah lagi mitologi Spider-Man sendiri yang sangat popular dan penuh dengan watak-watak unik Spider-Man dari pelbagai realiti. Namun pada pandangan kami, ada lebih sekiranya nama watak-watak Spider-Man berkenaan (yang mungkin agak asing bagi mereka yang tidak membaca komik Spider-Man) dapat dipaparkan di skrin juga ketika watak berkenaan muncul. Menariknya, Sony menggunakan jalan cerita multiverse ini untuk menunjukkan perkaitan universe filem-filem mereka. Dapat dilihat penampilan universe Venomuniverse The Amazing Spider-Man (Andrew Garfield) dan universe Spider-Man (Tobey Maguire) dalam filem Spider-Man: Across the Spider-Verse ini, walaupun mungkin hanya sepintas lalu. Harap-harapnya ada lah cross-over event lepas ini.

Filem Spider-Man: Across the Spider-Verse sekali lagi menampilkan Miles Morales sebagai watak utama, dan kali ini tertumpu kepada usahanya sebagai Spider-Man di universenya untuk menghalang penjahat bergelar Spot dari menghancurkan semua realiti disebabkan dendamnya terhadap Spider-Man. Penonton mungkin akan berbelah bahagi tentang siapakah antagonis sebenar, sama ada Spot, ataupun Miguel O'Hara/ Spider-Man 2099 yang punyai misinya tersendiri untuk menghalang semua realiti dari 'runtuh' dan memusnahkan segalanya. 

Bagi mereka yang pertama kali menonton filem Spider-Man: Across the Spider-Verse dan tidak menonton filem sebelumnya, mungkin akan menjadi sedikit keliru dan pening kenapa banyak sangat watak Spider-Man. Jujur kami merasakan filem kedua ini agak sedikit `berat´ dan mungkin sukar difahami, apatah lagi pacing yang kami rasakan agak pantas sehingga kadang-kala puas juga nak memahamkan apa yang dituturkan oleh watak-watak dalam filem Spider-Man: Across the Spider-Verse ini. Nasib baiklah ada subtitle

Tarikan utama filem Spider-Man: Across the Spider-Verse yang telah menjadi trademark kini adalah olahan animasinya yang ternyata amat berlainan, unik dan begitu menonjol, jauh lari dari animasi biasa yang dipertontonkan sebelum ini. Menariknya, kami dapat mengesan kelainan sentuhan animasi setiap kali watak-watak baharu diperkenalkan. Ternyata Sony cuba menampilkan garapan keunikan setiap watak Spider-Man dengan identiti dan gaya animasi berbeza, menyebabkan ianya menjadi semakin unik dan menarik.

Secara keseluruhannya, dapat kami simpulkan bahawa filem Spider-Man: Across the Spider-Verse berjaya menampilkan jalan cerita yang memukau dan di luar jangkaan. Walaupun sekadar filem animasi, namun filem ini turut mengangkat elemen kekeluargaan, remaja yang memberontak, pengorbanan, kerjasama dan kepercayaan terhadap kemampuan diri sendiri. Kewujudan meme kelakar Spider-Man yang diangkat ke tahap yang lebih tinggi, di samping penampilan sebegitu banyak watak cameo Spider-Man, membuatkan kami seakan `berharap´ untuk melihat watak-watak berkenaan dalam filem MCU akan datang pula. Ada harapan ke?

PENILAIAN: 4.5/ 5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post